suria

Tawar Bonus, Vincent Tan Bakal Disiasat Pihak Liga Perdana Inggeris

Tan bakal disiasat pihak Liga Perdana Inggeris.

KELAB Cardiff City bakal berdepan dengan siasatan Liga Perdana Inggeris selepas pemilik kelab tersebut, Tan Sri Vincent Tan menawarkan bonus bernilai £3.7 juta (RM20.24 juta) sebelum aksi kekalahan kepada Tottenham Hotspur pada Ahad lalu.

Sportsmail mendedahkan Tan melanggar peraturan Liga Perdana, yang mana setiap pasukan perlu menyediakan jadual bonus sebelum musim bermula, namun Tan memberi insentif kepada pemain-pemainnya bagi mengelak pasukannya terkeluar dalam saingan liga.

Difahamkan sebelum ini Tan tidak menawarkan sebarang bonus kepada pemain-pemainnya sebelum kempen bermula kerana beliau percaya skuadnya tidak akan berada dalam kedudukan tercorot selepas membuat pelaburan besar.

Pemilik penuh kontroversi itu turut berada di Hilton Hotel di London Park Lane ketika mesyuarat pasukan dan mengejutkan pemain-pemain dengan tawaran luar biasa.

Beliau berjanji dengan skuad (yang dalam keadaan terkejut) £3.7 juta akan diberikan kepada pemain-pemain untuk dikongsikan sesama mereka jika musim ini mereka mampu bertahan dalam Liga Perdana Inggeris.

Dalam peraturan, setiap kelab perlu mendaftar apa sahaja bonus yang akan diberikan sekiranya tidak tercatat dalam kontrak pemain bagi menjaga integriti Liga Perdana di tahap terbaik.

Peraturan ini dibuat bagai menghentikan perkara seperti yang dilakukan ahli perniagaan dari Malaysia ini yang menggunakan wang sebagai motivasi kepada pemain-pemain dan pegawai pasukan diluar kontrak masing-masing.

Pemilik Cardiff itu akan disiasat selepas sumber terdekat Tan mengesahkan beliau ada membuat tawaran kepada pemain-pemainnya.

Tan melanggar peraturan T12 dan T13 dengan menawarkan kewangan sebagai pendorong yang diluar kontrak pemain.

Berdasarkan peraturan T12: "Maklumat penuh ganjaran pemain termasuk semua faedah yang layak diterima pemain secara tunai atau lain, mesti dicatatkan dalam kontrak."

Manakala T13:"Syarat-syarat perjanjian di antara kelab dan pemain mesti ditepati.

"Berdasarkan sesetangah kontrak pemain, persetujuan jadual bonus perlu dilakukan ketika awal musim dengan pengetahun Liga Perdana dan tidak boleh menukar perjanjian tersebut ketika saingan musim berlangsung dalam apa jua keadaan.'

Bagaimana pun tawaran Tan itu tidak memberi sebarang kesan kepada pemain-pemainnya selepas tewas 1-0 kepada Spurs dengan jaringan tunggal penyerang Roberto Soldado.

Pada Isnin malam, pihak Liga Perdana mengesahkan mereka telah menulis surat kepada Tan mengenai siasatan ini.

Lembaga pengarah Liga Perdana mempunyai banyak pilihan sekiranya didapati Tan bersalah termasuk denda.

Jika perkara tersebut terlalu serius, ia boleh dikenakan sekatan termasuk denda serta menolak mata tanpa had oleh suruhanjaya kawalan bebas.

Namun jurucakap jutawan tersebut berkata: "Kami tidak sedari ia bertentangan dengan peraturan. Vincent Tan kini telah membatalkan tawaran tersebut.'

Artikel Lain