KUALA LUMPUR: Atlet -Atlet berbasikal negara bakal berkayuh dengan basikal baharu selepas menerima tajaan dari Ridley Bicycles Company Action Bods Singapore, Rabu. Wakil Ridley, Jackie Koh berkata, jenama basikal Ridley memang terkenal di seluruh dunia dan pihaknya berbangga dapat memberi tajaan kepada skuad berbasikal Malaysia. "Pencapaian skuad Malaysia di peringkat dunia memang tidak dinafikan lagi, malah kami yakin mereka mampu mencapai lebih banyak kejayaan. "Kerjasama dengan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) ini selama dua tahun dan kami menyediakan sebanyak 70-80 buah basikal untuk digunakan oleh atlet-atlet Malaysia. "Selain Malaysia, pasukan pro dari Perancis, Lotto Beliso juga menggunakan basikal ini selain dua pasukan dari Belgium, tempat kelahiran basikal ini," jelasnya kepada media selepas majlis penyerahan basikal kepada PKBM. Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengalu-alukan sumbangan pihak penaja bagi meringankan beban kerajaan. "Memang kita amat menghargai sumbangan dari pihak penaja kerana sukan berbasikal menjadi salah satu sukan keutamaan kita. "Sudah tentu kita memerlukan perbelanjaan tinggi setiap tahun untuk menghantar atlet-atlet kita beraksi di luar negara. Malah ada juga sebahagian atlet kita berlatih di luar negara. "Sumbangan seperti ini pastinya meringankan beban kerajaan dari segi perbelanjaan peralatan yang sememangnya tinggi setiap tahun," jelasnya. Zolkples berkata, tahun ini merupakan tahun penting buat sukan berbasikal negara. "Kita bakal berdepan dengan Sukan Asia dan Sukan Komanwel dan sudah tentu acara berbasikal bukan sekadar mengambil bahagian tetapi harapan meraih pingat sentiasa diletakkan kepada mereka. "Pada aksi sebelum ini, Azizulhasni Awang (Sukan Asia 2010) serta Josiah Ng (Sukan Komanwel 2010) meraih pingat emas dalam dua kejohanan ini. "Kita juga sedia maklum prestasi pelumba wanita kita, Fatehah Mustapa meningkat mendadak dan berita ini amat menggembirakan kita, malah jurulatih negara, John Beasley juga yakin pingat bakal disumbangkan pada Sukan Olimpik di Rio 2016. "Begitu juga dengan pelumba pelapis muda yang semakin ramai dan menunjukkan prestasi yang baik," tambahnya.