suria

Van Persie Nafi Bakal Tinggalkan Man.United

Robin van Persie.
ROBIN Van Persie menafikan dakwaan bahawa dia akan meninggalkan Manchester United pada musim panas ini selepas bertengkar dengan pengurus David Moyes.

Malah, Van Persie turut mendakwa dia akan kekal di Old Trafford sepanjang kariernya.

Van Persie membantu United menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris musim lalu, sebaik saja menyertai kelab itu dengan nilai perpindahan 24 juta pound dari Arsenal.

Bagaimanapun, dia masih gagal mempertahankan prestasinya pada musim lalu sebaik saja Moyes menggantikan Sir Alex Ferguson sebagai pengurus.

Terdapat beberapa khabar angin mendakwa penyerang kebangsaan Belanda itu akan dijual pada hujung musim ini dengan Moyes merancang untuk merombak skuadnya dan Edinson Cavani merupakan sasaran utamanya.

Namun, Van Persie, 30, berkata dia mahu melihat kontraknya yang masih berbaki dua tahun dan mungkin mengikut jejak langkah Wayne Rooney dengan menandatangani kontrak baharu.

"Kebenarannya, saya amat gembira berada di sini. Saya menandatangani kontrak selama empat tahun dan saya berbangga untuk kekal lebih lama di sini," katanya.

Difahamkan Van Persie turut kecewa dengan persaraan mengejut Ferguson dan tidak gembira dengan corak latihan Moyes.

Van Persie hanya beraksi lebih separuh aksi bersama United musim ini kerana masih bergelut dengan kecederaan dan dikritik akibat tiada persefahaman dengan Rooney.

Van Persie dikatakan turut tidak berpuas hati dengan kerjasama antara pemain United ketika tewas kepada Olympiacos dalam aksi pusingan kedua 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu selain kecewa dikeluargkan Moyes ketika menentang West Brom hujung minggu lalu.

Namun, Van Persie menegaskan dia mempunyai hubungan baik dengan Moyes dan Rooney dan menyifatkan situasi itu sengaja diputar belitkan.

Artikel Berikut

Artikel Lain