BINTANG tenis no.1 dunia, Rafael Nadal dan juara 17 kali grand slam, Roger Federer bakal beraksi pada kejohanan Terbuka Sony, Miami minggu ini selepas kedua-dua pemain ini tidak menyertainya tahun lalu. Kehadiran kedua-dua bintang tenis ini dianggap 'lubuk emas' kepada penganjur kerana mereka menjadi punca utama kehadiran penonton ke kejohanan ini. Tahun lalu, Nadal tidak beraksi gara-gara kecederaan lutut, manakala Federer pula 'bercuti' sekaligus menyaksikan jumlah kehadiran penonton menurun 5.5 peratus bersamaan 308,000. "Mereka adalah nama besar, bukan sekadar untuk sukan, dan apabila Rafa dan Roger tidak beraksi, ia seperti satu kehilangan," jelas pengarah kejohanan, Adam Barret. "Mereka ini adalah bintang yang mampu menarik ramai orang, sama ada ketika di lapangan terbang, hotel ataupun ketika mereka berjalan di pusat membeli belah. "Ke mana sahaja mereka pergi, tarikan bukan sahaja kepada peminat-peminat tenis, malah yang tidak menyukai tenis turut berkumpul semata-mata mahu melihat kedua-dua pemain ini." Barrett berkata, kejohanan ini bakal menjanji sesuatu yang luar biasa dengan kehadiran pemain wanita no.1 dunia, Serena Williams, Maria Sharapova, juara bertahan Andy Murray dan juara tiga kali kejohanan ini, Novak Djokovic pastinya akan mancatat penjualan tiket tahun ini. Perlawanan pusingan pertama wanita akan berlangsung pada Selasa, manakala saingan utama lelaki akan bermula pada Rabu.