Nicol, yang juga juara tujuh kali, menerima kejutan awal apabila kalah set pembukaan dengan 9-11 kepada pemain pilihan kelapan, Camille Serme dari Perancis.
Bagaimanapun, Nicol, pemain nombor satu dunia, bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 11-5, 11-5 sebelum Serme memberi tentangan sengit untuk menang set keempat dengan 11-6.
Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu, bagaimanapun menempah tiket ke separuh akhir dengan memenangi set terakhir 11-4 dalam pertarungan selama 76 minit.
"Saya perlu pulih dengan cepat untuk saingan esok," kata Nicol yang akan menentang pemain Mesir, Nour El Sherbini pada saingan separuh akhir.
Nour, pemain pilihan kelima, pula mengambil masa 52 minit untuk menempah slot separuh akhir dengan mengetepikan pemain New Zealand, Joelle King, dengan keputusan 11-9, 8-11, 13-11, 11-6.
Bagaimanapun, Low, pemain nombor dua negara, memberi tentangan pada pertarungan selama sejam 45 minit sebelum mengakui kehebatan pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England.
Low membuka saingan dengan mencipta kejutan apabila menang 14-12 tetapi Massaro menyamakan kedudukan 1-1 pada set berikutnya dengan 11-6 sebelum anak kelahiran Pulau Pinang itu mendahului set ketiga dengan 11-6.
Bagaimanapun, Massaro mengesahkan slot separuh akhir dengan memenangi dua set terakhir dengan 13-11 dan 11-7.
"Saya sudah memberi yang terbaik...memang kekalahan ini sukar lebih-lebih lagi di halaman sendiri. Massaro merupakan pemain berpengalaman dan tahu mengumpul mata penting dan ini adalah sesuatu yang saya perlu belajar," kata Low.
Massaro akan menentang pemain pilihan ketiga Raneem El Weleily dari Mesir pada perlawanan separuh akhir.
Raneem mara ke separuh akhir dengan mengalahkan pemain pilihan ketujuh, Madeline Perry dari Ireland 10-12, 14-12, 11-3, 7-11 dan 11-7.