suria

Liga Super: Sarawak Hilang Pertahanan Kental

Gabor Gyepes bakal direhatkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan pada Selasa.

KUCHING: Pengendali pasukan Sarawak Robert Alberts mula dihimpit resah selepas tonggak pertahanan import Gabor Gyepes mengalami kecederaan hamstring dan mungkin tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super selama dua hingga tiga minggu.

Ketiadaan Gyepes ternyata akan memberi kesan kepada benteng pertahanan ketika barisan penyerang skuad 'Bujang Senang' itu mula menunjukkan keserasian pada saingan pusingan kedua liga.

Pada Selasa, Sarawak menjinakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dan sebelum itu, mengalahkan Terengganu 2-1, Jumaat lepas.

Alberts berkata Gyepes mengalami kecederaan itu semalam dan ketiadaannya akan lebih menyukarkan apabila menentang Kelantan di Kota Baharu, Jumaat ini.

Walaupun Kelantan kalah mengejut 4-0 kepada Sime Darby FC semalam namun jurulatih Sarawak itu masih menganggap skuad 'The Red Warriors' itu bukan lawan yang mudah berdasarkan rekod kekalahan mereka dengan pasukan itu sebelum ini.

Selepas 13 perlawanan, Sarawak menghuni tangga ketujuh dalam liga dengan 19 mata, Kelantan memiliki kelebihan satu mata untuk tangga keenam manakala Pahang berada di persada liga dengan 25 mata.


Sarawak, Gyepes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain