KANGAR: Komitmen kerajaan Perlis terhadap SukanMalaysia ke-17 (Sukma) terutama dalam menyediakan kemudahan bertaraf tinggi kiniberjalan lancar dan dijangka siap, awal Mei ini. Menteri Besar Azlan Man berkata, semua kemudahan sukan seperti kolam renanguntuk acara akuatik, kelab Golf dan dewan badminton yang tersasar daripada jadual asal dijangka dapat disiapkan kontraktor terlibat dan diterima Majlis Sukan Negeri (MSN) antara 25 April hingga awal Mei. "Semua kemudahan ini akan diuji terlebih dahulu untuk disahkan bebas sebarang cacat-cela namun saya yakin semuanya disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada Rabu. Menurut Azlan dalam mesyuarat bersama kontraktor dan perunding projek petang Selasa, beliau diberi jaminan mengenai mutu pembinaan setiap kemudahan sebelum disahkan Jabatan Kerja Raya. Kelab Golf akan diserahkan pada 25 April manakala dewan badminton pada akhir April. Stadium Utama yang menjadi venue pembukaan kejohanan pada 26 Mei dan penutup pada 4 Jun telah siap dan sedia untuk diuji, katanya. Mengenai kunjungan beliau ke negeri-negeri bagi menjemput pemimpin kerajaan negeri dan kontinjen di semenanjung yang berakhir dua hari lepas, Azlan berkata beliau bersyukur kerana mendapat respons positif. Jelas Azlan, semua menteri mesar dan ketua menteri memberi komitmen untuk menghadiri acara penting kejohanan khususnya majlis pembukaan pada 26 Mei danpenutup pada 4 Jun. "Kunjungan ini menjadi tradisi setiap tuan rumah untuk menjemput menteri besar dan ketua menteri. Saya meneruskan tradisi ini dan bersyukur semuanya berjalan lancar," katanya. Azlan berkata beliau akan berkunjung ke Sabah dan Sarawak serta Brunei Darussalam minggu depan bagi menjemput rakan-rakan dan pemimpin negeri berkenaan.