PEMBENTUKAN Pelan Pembangunan Bola Sepak (PPBN) yang baharu membuktikan keseriusan kerajaan untuk memastikan pasukan bola sepak Malaysia mencapai kejayaan membanggakan. Pelan Fasa 1 bagi tempoh 2014-2020 diharap mampu mengubah senario bola sepak tempatan ke tahap lebih profesional dalam mencari pemain muda sebelum diserapkan ke pasukan utama negara. Di atas kertas, PPBN dilihat sempurna dengan pelbagai objektif, matlamat serta program jangka masa panjang yang diberi sentuhan baharu kepada program lama. Dan pelan seperti ini sudah lama dipraktikkan negara yang berjaya mencatat nama di mata dunia. Penganalisis bola sepak negara, Serbegeth Singh atau lebih dikenali Shebby Singh mengakui pelancaran pelan baharu ini penting secara keseluruhannya. Bagaimanapun, beliau tetap menyuarakan kebimbangan pelan ini boleh membawa padah jika ada pihak yang terlalu mengharapkan hasil yang pantas iaitu daripada segi pencapaian objektifnya. "Saya ingin lihat sokongan ketara dari semua pihak. Bagaimanapun, pelan pembangunan sebegini adakalanya boleh dirosakkan oleh pihak yang inginkan keputusan segera. Dan inilah risiko yang perlu dihadapi ketika melaksanakan pelan ini," katanya kepada mStar Online. Bekas penasihat global kelab England, Blackburn Rovers itu berkata, usaha untuk mengemaskini bolasepak negara adalah sesuatu yang dinantikan dan lebih penting pelan itu dilaksanakan secara menyeluruh dengan membangunkan semua elemen bola sepak. Serbegeth Singh "Kerjasama semua pihak paling penting. Masa lampau hanya boleh digunakan sebagai pengalaman, manakala pelan sedia ada ini boleh ditingkatkan dengan perjalanan waktu serta evolusi bola sepak," jelas Shebby. PPBN dilancarkan 10 April lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan pelan ini diangkat sebagai status Projek National. Ini bermakna, pelan ini bukan hanya projek Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi ia satu projek semua pihak. Menyedari kemerosotan sukan bola sepak negara, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan pada 2004 telah menyenaraikan acara ini dalam senarai 19 jenis sukan yang perlu diberi perhatian khusus dan dibangunkan secara pesat. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, langkah yang diambil pada masa itu tidak menyeluruh. Tidak membawa kesan positif yang mampan. Bagaimanapun, inisiatif mengenal pasti bakat telah diberi penekanan dan menjadi titik tolak kepada usaha pembangunan bakat muda sehingga kini. Najib melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara bermula 2014-2020. Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berusaha mengambil inisiatif agar pembangunan sukan bola sepak negara dapat dilaksanakan dengan menyeluruh terhadap aspek pembangunan bakat muda di peringkat bawah. "Memang wujud program pembangunan bola sepak sebelum ini yang dilaksanakan dengan baik dan dapat meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun pada 2019. "Bagaimanapun, pelan pembangunan terbaharu ini akan memuatkan lebih banyak penambahbaikan dalam usaha melahirkan lebih ramai wira bola sepak negara dan ia bukan pelan untuk jangka masa singkat bagi meraih kejayaan, tempoh enam tahun adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," kata Khairy.