KUALA LUMPUR: Gandingan Hungary-Taiwan, Timea Babos dan Chan Hao Ching menjuarai gelaran sulung Jelajah WTA sebagai pasangan pada Terbuka Malaysia BMW di Kelab Golf Diraja Selangor di Kuala Lumpur, Ahad. Pilihan utama itu menewaskan pilihan keempat Zheng Saisai dari China dan Chan Yung Jan dari Taiwan 6-3, 6-4 pada aksi final yang berlangsung selama 71 minit. Ia merupakan gelaran beregu pertama buat Timea pada musim ini sejak kali terakhir menang di Sydney bersama Lucie Safarova pada Januari lalu. Bagi Hao Ching pula, kejayaan di Kuala Lumpur ini adalah kejuaraan ketiga dalam karier. Kemenangan ini juga bermakna Hao Ching sekali lagi lebih unggul daripada kakaknya, Yung Jan. Kali terakhir pertembungan sesama beradik ini juga menyaksikan Hao Ching menewaskan Yung Jan pada penentuan pingat emas beregu campuran di Sukan Asia Timur tahun lalu. Yung Jan sepatutnya boleh menjadi pemain pertama dalam BMW Terbuka Malaysia untuk muncul juara buat kali kedua selepas pernah menjulang kejuaraan beregu bersama Zheng Jie dari China, pada 2010. Juara beregu membawa pulang AS$12,300 dan 280 ranking mata ranking manakala Zheng Saisai dan Yung Jan berpuas hati dengan AS$6,400. "Saya menikmati setiap detik di sini dan sokongan daripada penonton-penonton cukup hebat. Timea dan saya akan terus bergandingan dalam beberapa lagi kejohanan akan datang," kata Hao Ching, yang menduduki ranking ke-26 dunia dalam saingan beregu. Timea, 21, mengharapkan dia dan Hao Ching akan dapat meneruskan momentum daripada kejuaraan BMW Terbuka Malaysia yang diraih mereka. "Kami bergelut sedikit pada permulaan minggu tetapi berubah lebih baik dari satu ke satu perlawanan. "Saya percaya kami patut bermain bersama dalam kejohanan-kejohanan terpilih," kata pemain beregu no.35 dunia, Timea.