suria

Everton 2-0 Man United: Sengsara David Moyes Bertambah Tewas Ditangan Bekas Kelab

Kesengsaraan David Moyes memang tidak dapat disembunyikan lagi apabila Manchester United tewas ditangan bekas kelabnya sendiri Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Ahad.

MANA hendak letak muka selepas David Moyes dimalukan oleh bekas kelabnya sendiri apabila Manchester United tewas 0-2 di tangan Everton pada Ahad.

Ketika Moyes meninggalkan Everton hujung musim lalu untuk menerima jawatan sebagai pengurus baru United, dia merasakan yang itu adalah satu peningkatan dalam kerjayanya.

Manakan tidak dia mewarisi pasukan juara liga tetapi selepas mengharungi 34 perlawanan, menang 17, seri 6 dan kalah 11 kali, Moyes mungkin kini ragu-ragu sama ada dia telah melakukan keputusan yang betul dengan meninggalkan Everton.

Sebaliknya, pasukan yang pernah dibimbingnya selama 11 tahun, kini bukan sahaja berada di tangga ke-5 liga malah telah mencatatkan 20 kemenangan dan hanya tewas 6 kali sahaja sepanjang musim ini di bawah bimbingan Roberto Martínez.

Mungkin United sendiri kini terfikir yang mereka sepatutnya menawarkan jawatan pengurus kepada Martinez dan bukannya Moyes.

Malang sekali Martinez bukanlah berbangsa Scot sepertimana Moyes dan bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson.

Moyes dipilih atas kehendak Ferguson sendiri.

Kini adalah menakjubkan sekiranya Moyes masih kekal sebagai pengurus United musim depan. Jika itu berlaku amatlah jelas yang United memang mahu memberi peluang kepadanya membina pasukan pilihannya sendiri musim depan.

Sementara itu dalam perlawanan menentang Everton, Leighton Baines membuka jaringan menerusi sepakan penalti selepas Phil Jones dipersalahkan kerana didakwa dengan sengaja menampan bola menggunakan tangannya di dalam petak penalti.

Di sebalik menguasai padang Everton yang berpeluang menambah jaringan dan kali ini menerusi Kevin Mirallas.

Menjelang separuh masa pertama, Everton mendahului United 2-0.

Moyes cuba mengubah corak permainan dengan memasukan dua lagi penyerang iaitu Danny Welbeck dan Chicarito dengan permainan berbaki setengah jam sahaja lagi menjadikan formasi serangan dengan tiga penyerang termasuk Wayne Rooney.

Namun United kehilangan daya penamat dan gerakan mereka serba tidak menjadi.

Kemenangan ini meletakkan Everton di tangga ke-5 dengan ketinggalan hanya satu mata di belakang Arsenal manakal United kekal di tangga ke-7 liga.

Everton: Howard 7, Baines 7.5, Distin 6.5 (Alcaraz 46 6.5), Stones 7, Coleman 8.5, McCarthy 7, Barry 7, Mirallas 7.5 (McGeady 90), Barkley 6.5 (Osman 70 6), Naismith 7, Lukaku 6.

Simpanan: Robles, Hibbert, McGeady, Deulofeu, Osman, Garbutt, Alcaraz.

Kad Kuning: Barkley, McCarthy.

Gol: Baines 28 (PEN), Mirallas 43.

Manchester United: De Gea 6, Jones 5, Evans 6 (Hernandez 61 5), Smalling 5, Buttner 4, Carrick 5, Fletcher 6.5, Nani 4 (Valencia 61 5), Mata 3.5, Kagawa 4 (Welbeck 75), Rooney 5.

Simpanan: Lindegaard, Giggs, Hernandez, Welbeck, Valencia, Fellaini, Januzaj.

Kad Kuning: Jones, Smalling.

Penonton: 39,436.

Artikel Lain