suria

Tenis Terbuka Malaysia: Vekic Rangkul Trofi Sulung WTA

Vekic menjulang trofi sulung WTA pada Terbuka Malaysia BMW.

KUALA LUMPUR: Bintang muda Croatia, Donna Vekicmemenangi gelaran sulung Persatuan Tenis Wanita (WTA) apabila mengejutkan Dominika Cibulkova dari Slovakia untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2014 lewat Ahad malam.

Pemain berusia 17 tahun itu bangkit selepas tewas 5-7 pada set pembukaan untuk mengalahkan finalis Terbuka Australia itu 7-5 pada set kedua sebelum menang tipis 7-6 pada set penentuan dalam pertarungan selama dua jam 52 minit.

Vekic, pemain yang menduduki ranking ke-95 dunia, berkata dia merasa begitu gembira untuk memenangi perlawanan itu di hadapan keluarganya serta memasang impian tinggi untuk meraih lebih banyak kejayaan.

"Saya begitu terkejut ketika ini...gembira sekali dengan kemenangan ini. Perlawanan ini begitu sengit dan terlalu meletihkan," kata Vekic selepas perlawanan itu di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).

Pada awal tahun ini, Vekic kalah kepada Cibulkova, pemain berkedudukan ranking ke-10 dunia, pada Terbuka Indian Well di Amerika Syarikat.

"Saya cuba bertenang dan menampilkan aksi terbaik mungkin dan ia bukan kemenangan mudah," katanya yang menerima hadiah wang tunai US$43,000 (RM139,342).

Sepanjang kariernya, dia telah menjuarai empat acara perseorangan dan satu beregu dalam sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF).

Artikel Lain