suria

ARRC: Zamri Ketepi Kesakitan Rangkul Gelaran Berganda

Zamri merangkul gelaran juara pada perlumbaan pembukaan ARRC di Litar Antarabangsa Sepang.

SEPANG: Mohd Zamri Baba memulakan saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dengan langkah kanan setelah berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan akhir SuperSports 600cc yang berakhir di Litar Sepang pada Ahad.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu bagaimanapun tidak meraih kemenangan mudah apabila terpaksa mengetepikan kesakitan kaki untuk berjuang menamatkan 25 pusingan perlumbaan sebelum berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dengan masa keseluruhan 27:38.920 dihadapan bekas rakan sepasukan, Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) di kedudukan kedua dengan masa 27:39.471s manakala Katsuaki Fujiwara (Beet Kawasaki Racing) yang bermula dari petak pertama di tangga ketiga, 27:29.004s.

Kemenangan pada Perlumbaan 1 meningkatkan semangat Zamri untuk meraih kemenangan kedua dan hasratnya tercapai setelah muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 27:28.232s sambil Katsuaki di tempat kedua dengan masa 27:28.314s dan rakan sepasukan Zamri, Makoto tamada ketiga, 27:29.004s.

"Saya hanya mahu menang di sini walaupun tahu keadaan fizikal saya masih belum cergas sepenuhnya. Tambahan, saya tidak pernah memenangi perlumbaan pembukaan musim sepanjang beraksi di pentas ARRC ini.

"Kemenangan itu seakan memberi motivasi baru kepada saya untuk memenangi perlumbaan kedua. Cuma kali ini saya memilih strategi berbeza. 

"Saya lebih banyak mengekori Fujiwara dan menunggu sehingga ke beberapa pusingan terakhir sebelum memintas.

"Selepas melihat dia tidak begitu selesa dengan jenteranya dan seringkali melakukan kesilapan, saya melakukan beberapa percubaan untuk memotong di selekoh pertama dan kelima pada tiga pusingan terakhir sebelum berjaya memintas Fujiwara di selekoh kelima pusingan terakhir dan seterusnya memenangi perlumbaan," katanya.

Sementara itu, dalam saingan Underbone 130cc, setelah mencatat nama sebagai pelumba terpantas sesi kelayakan, pada Sabtu, Ahmad Fazli Sham membuktikan dia masih antara pelumba underbone handalan negara apabila berjaya muncul juara pada Perlumbaan 2 dengan menewaskan rakan sepasukan dari PETRONAS Hong Leong Yamaha, Mohd Affendi Rosli di tempat kedua dengan masa 19:31.633s manakala Mohd Rozaiman Mohd Said (T.Pro Yuzy Honda) di tempat ketiga dengan masa 19:32.710s.

Terdahulu, Perlumbaan 1 turut menjadi milik pelumba negara melalui Norizman Ismail setelah pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan 14 pusingan perlumbaan dengan masa 19:53.202s menewaskan Gupita Kresna Wardhana (Kawasaki KYT Rextor Manual Tech) dari Indonesia di tempat kedua dengan masa 19:53.223s dan Rozaiman ketiga, 19:53.415s.

Perlumbaan Asia Dream Cup (ADC) menyaksikan persaingan sengit diantara pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi dan pelumba Jepun, Teppei Nagoe namun keputusan memihak kepada pelumba Malaysia itu untuk meraih kejayaan berganda sekaligus mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 50 mata.

Khairul Idham menamatkan Perlumbaan 1 dengan masa keseluruhan 19:06.798s, hanya 0.006s di hadapan Teppei sambil tempat ketiga dimenangi Aditya Pangestu (Indonesia) dengan masa 19:06.985s.

Sementara itu, perlumbaan 2 lebih sengit apabila keputusan perlumbaan terpaksa ditentukan melalui rakaman akhir yang menyaksikan Khairul Idham muncul juara dengan masa 19:07.992s, hanya 0.003s di hadapan Nagoe.

Tempat ketiga menjadi milik rakan senegara Nagoe, Syunya Mori dengan masa 19:08.226s.

Artikel Sebelum

Lin Dan Intai Wild Card

Artikel Lain