suria

Lin Dan Intai Wild Card

KUALA LUMPUR: Juara dunia lima kali, Lin Dan kini sedang mengintai peluang untuk meraih wild card bagi beraksi pada kejohanan dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos ini.

Usaha pemain dari China itu untuk mendapat laluan mudah ke kejohanan dunia berkenaan jelas apabila dia berjaya menjuarai Grand Prix Emas Terbuka China pada Ahad.

Kejayaan Lin Dan hadir selepas dia menundukkan rakan senegaranya Tian Houwei 21-14, 21-9, dalam tempoh 49 minit di Changzhou.

Aksi cemerlang Lin Dan itu adalah yang pertama pada 2014 selepas dia tidak menyertai mana-mana kejohanan setelah menundukkan Datuk Lee Chong Wei pada kejohanan dunia di Guangzhou, Ogos tahun lalu.

Akibat tidak menyertai sebarang kejohanan selama tujuh bulan, ranking pemain berusia 31 tahun itu turun mendadak untuk berada di kedudukan ke-104 dunia.

Mengikut rekod Lin Dan pernah diberi wild card oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika dia berehat panjang selepas memenangi pingat emas pada sukan Olimpik 2012.

Jika Lin Dan berjaya mendapat wild card, ia akan menjadi ancaman kepada Chong Wei untuk  mengukir kejayaan di Denmark.

Pemain terbabit dijangka akan menggunakan Kejohanan Badminton Asia yang akan berlangsung di Gimcheon, Korea Selatan mulai Selasa untuk mendapatkan wild card.


 

Lin Dan, Denmark, BWF

Artikel Lain