suria

Ryan Giggs Semarak Semangat Kelas'92 Dengan Paul Scholes & Nicky Butt Sertai Phil Neville Dalam Staf Kejurulatihan United

Ryan Giggs, pemain veteran dengan lebih 600 perlawanan untuk Manchester United kini diamanahkan untuk menjadi pengurus interim pasukan itu dalam baki empat perlawanan liga musim ini.

HANYA dengan satu panggilan telefon sahaja sudah memadai untuk bekas bintang Manchester United, Paul Scholes muncul di padang latihan bersama-sama seorang lagi bekas rakan sepasukannya Nicky Butt menyertai staf kejurulatihan pengurus interim, Ryan Giggs pada pagi Rabu.

Giggs yang baru dilantik sebagai pengurus sementara United selepas David Moyes dipecat berkuatkuasa serta merta pada pagi Selasa membentuk apa yang dipanggil Kelas '92 yang terdiri daripada David Beckham, Paul Scholes,Nicky Butt, Phil Neville, abangnya Gary dan Giggs sendiri yang menjadi nukleus kepada skuad Sir Alex Ferguson untuk merebut kejuaraan liga mereka yang pertama dalam era gemilang sepanjang 26 tahun.

Dalam kumpulan itu, hanya David Beckham dan Phil Neville sahaja yang dijual kepada kelab lain (Real Madrid dan Everton) sementara yang lain menamatkan kerjaya mereka bersama United sepanjang berada di bawah kendalian Alex Ferguson dengan Giggs mencatat rekod masih lagi bermain pada usia 40 tahun dan kekal bersama skuad utama United.

Nicky Butt kini adalah jurulatih Bawah-18 Tahun United manakala Scholes hanya bersara musim lalu.

Phil Neville kembali bersama Moyes apabila bekas pengurus Everton itu menyertai United Jun lalu.

Keenam-enam mereka digelar sebagai pemain-pemain yang menyemarakkan semangat satu generasi yang gemilang yang kemudiannya tidak lagi pernah dicapai atau diulangi oleh mana-mana pemain dari akademi kelab itu.

Dengan penyertaan Scholes semula bersama skuad United atas kapasiti jurulatih ini bermakna empat dari enam kumpulan Kelas '92 kini telah kembali untuk membantu Giggs memastikan kelab mereka memenangi kesemua empat baki perlawanan liga lagi.

Hanya Beckham yang kini memiliki pasukan bolasepaknya sendiri di Amerika Syarikat dan Gary Neville yang kini adalah jurulatih skuad kebangsaan England tidak kembali bersama bekas kelab mereka itu.

Tetapi seluruh dunia khususnya peminat-peminat United mengetahui yang mereka adalah kawan-kawan rapat dan sentiasa menyokong satu sama lain sama ada di dalam padang atau luar padang.

Giggs, bagaimana pun menyedari bahawa peranannya buat masa ini hanyalah bersifat sementara atau seketika sahaja.

Dia tidak akan dipetimbangkan untuk jawatan kekal buat masa ini dan sedar yang seorang pengurus yang lebih berpengalaman akan muncul menjelang musim baru nanti.

Namun itu tidak sedikit pun menghalangnya daripada memanggil bekas-bekas rakan sepasukannya untuk bersama-sama skuad yang sedang tenat ini bagi menghadapi baki empat perlawanan lagi sehingga pertengahan Mei ini.

Sebelum memberitahu skuad utama pada tengah hari Selasa yang dia akan memanggil semula Scholes dan Butt untuk membantunya mengharungi saki baki musim ini, Giggs duduk bersama-sama semua pemain yang memberitahu; "Kini sudah tiba masanya untuk bermain dengan cara dan gaya Manchester United semula".

Media massa Britain sebelum ini melaporkan yang Giggs tidak sebulu dengan taktik permainan yang diperkenalkan Moyes yang banyak bertahan di gelanggang sendiri daripada bermain secara kreatif dari posisi tengah dan sayap sepertimana era Ferguson dahulu.

Giggs kini dikatakan akan mengadaptasikan semula gaya permainan Ferguson malah ada yang mengatakan yang dia tidak segan silu untuk kembali memperkenalkan gaya yang pernah diajar oleh legenda skuad remaja United, Eric Harrison.

Malah dalam pertemuannya dengan para pemain, Giggs memberitahu yang mereka tidak akan lagi membentuk formasi mengelilingi pemain tengah Michael Carrick tetapi sebaliknya akan bergerak ke hadapan dan mula menyerang sebaik sahaja memperolehi bola.

Giggs juga dijangka menggunakan semula pemain-pemain kelahiran akademi Manchester United seperti Tom Cleverley, Danny Welbeck dan Adnan Januzaj - sama sepertimana Ferguson memberikan kepercayaan kepadanya dan skuad '92 dahulu.

Adalah tidak mengejutkan jika dia menguggurkan pemain flop, Marouane Fellaini dan juga bintang Sepanyol Juan Mata dalam perlawanan menentang Norwich Sabtu ini yang sekaligus mencerminkan kegagalan Moyes untuk memahami mentaliti dan gaya Manchester United.

Sabtu ini Old Trafford bakal menyaksikan apakah United akan muncul semula dengan semangat era kegemilangan Ferguson dan mendominasi permainan sepertimana masa lalu.

Artikel Lain