KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegur sikap sesetengah pegawai pasukan bola sepak yang gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan keganasan di padang ketika perlawanan berlangsung. Menurutnya, situasi seperti itu tidak wajar berlaku kerana pegawai mahupun pemain sendiri seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada penyokong bola sepak. "Dengan mempamerkan sikap buruk kepada penyokong, ia sedikit sebanyak mendorong penyokong untuk turut melakukan perkara sama ketika berlangsungnya sesuatu perlawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan liga badminton profesional 'Malaysia Purple League' di Sentosa Sports Arena di sini, Selasa. Khairy berkata, sekiranya pegawai atau pemain mampu mengawal emosi serta menunjukkan contoh yang baik dan tidak bertindak melulu, masalah keganasan di padang bola akan dapat dibendung. "Walaupun perkara ini telah dibangkitkan berulang kali, masalah keganasan tetap berlaku. Saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat meningkatkan usaha untuk membendung masalah ini," katanya. Khairy juga turut mendesak agar badan induk bola sepak negara itu meningkatkan kualiti pengadilan tempatan. Katanya, FAM perlu bertindak cepat dalam menghasilkan kualiti pengadilan yang lebih baik bagi memastikan tidak timbul sebarang keraguan dalam kalangan penyokong. Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau akan meminta pandangan pengendali skuad Harimau Muda Datuk Ong Kim Swee sebagai penyelaras semua skuad Harimau Muda, berhubung pencapaian skuad Harimau Muda B yang tewas dalam sembilan perlawanan dan berada di kedudukan tercorot dalam Liga Singapura musim ini. "Saya perlu ambil tahu mengenai hal ini," katanya.