suria

AVB Catat Rekod Baru Di Rusia

Andre Villas-Boas

SEMENTARA kelab lamanya Tottenham Hotspurs kini berada di bawah Arsenal dan sedang bergelut untuk melayakkan diri ke kejohanan Liga Juara-Juara musim depan, Andre Villas-Boas (AVB) sedang mencatatkan satu rekod baru dalam Liga Perdana Rusia.

Zenit St Petersburg, kelab baru yang dibimbingnya kini mencatatkan kemenangan keenam berturut-turut sejak AVB ambil alih Mac lalu.

Tidak ada pengurus dalam sejarah kelab Rusia menikmati enam kemenangan berturut-turut selepas mengambil alih jawatan tersebut sepertimana yang dicapai oleh AVB.

Zenit kini kembali mendahului liga dengan hanya baki tiga perlawanan sahaja lagi untuk muncul juara baru.

Sejak AVB dilantik sebagai pengurus baru mereka, Zenit telah menumpaskan Volga Nizhny Novgorod, Krylya Sovetov, Amkar Perm, Rubin Kazan, Krasnodar dan Anzhi Makhachkala.

AVB dipecat oleh Spurs Disember tahun lalu.

Sebelum itu, pengurus berusia 36 tahun itu dipecat oleh Chelsea pada 2012.

Ternyata nasibnya di Rusia berbeza dengan nasib malang yang menimpanya di Liga Perdana Inggeris di mana dia dipecat dua kali dalam tempoh tidak sampai setahun.


Artikel Lain