KUANTAN: Penjaga gol berpengalaman negara, S.Kumar tidak gentar untuk berdepan dengan pukulan 'shoot-out' jika pertemuan dengan Kanada dalam aksi separuh akhir pada Sabtu terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti. Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 selepas memalukan New Zealand 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 dengan pasukan pilihan yang menduduki ranking keenam dunia itu. Kumar, 35, berkata penentuan kemenangan menerusi pukulan 'shoot-out' memberi lebih kelebihan kepada pasukan negara memandangkan Kanada tidak mempunyai pengalaman berdepan dengan situasi tersebut sebelum ini. "Saya telah bersedia untuk menghadapi semua kemungkinan tersebut namun harus berhati-hati dengan pukulan tajam kapten pasukan Kanada, Scott Tupper, yang diakui pakar dalam melakukan pukulan sudut penalti," katanya. Dia berkata walaupun Kanada bukan pasukan pilihan, namun Malaysia perlu berhati-hati dan tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan pasukan tersebut yang ternyata memiliki kelebihan tersendiri. Pada perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia menang tipis 4-3 ke atasKanada. "Bukan mudah untuk Malaysia layak ke separuh akhir, jadi kita perlu gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk ke final," katanya. Kumar berkata dia akan terus mengkaji video perlawanan lepas seperti mana yang dilakukanya sebelum ini bagi meneliti setiap gerakan pasukan lawan. Dalam perkembangan lain, Kumar berkata beliau hairan kenapa terdapat istilah pemain baharu dan lama dalam skuad negara sedangkan mereka sama-sama mewakili negara. "Perbezaan mungkin hanya wujud pada umur pemain dan bukanya pengalaman mereka kerana semua pemain yang dipilih pernah beraksi di perlawanan antarabangsa. "Bagi saya kami semua adalah sama dan hadir ke sini dengan matlamat yangsama iaitu untuk cipta kemenangan," katanya.