suria

Juara Liga: Peluang Real Kini Tipis Selepas Seri Kali Kedua Berturut-turut

Real bukan sahaja kini terjejas untuk merangkul juara liga malah pemain sayap mereka Christiano Ronaldo turut tercedera dalam perlawanan menentang Valladodid malam Rabu.

HARAPAN untuk Real Madrid menjuarai La Liga kini terbantut apabila mereka hanya sekadar seri 1-1 dengan Real Valladolid sebaliknya keputusan itu berjaya membawa keluar Valladolid dari zon penyingkiran.

Ini adalah keputusan seri yang kedua berturut-turut untuk Real selepas mereka terikat 2-2 dengan Valencia hujung minggu lepas.

Real kini berada di tangga ketiga dengan mengutip 84 mata manakala Barcelona 85 mata dan Atletico Madrid di tangga teratas dengan 88 mata.

Masih ada baki dua perlawanan lagi untuk setiap pasukan memaksimumkan mata masing-masing sebelum menutup tirai musim ini.

Sergio Ramos untuk seketika melonjakkan rasa gembira para penyokong Los Blancos apabila tendangan percumanya menemui jaring apatah lagi sebelum itu mereka kehilangan Cristiano Ronaldo yang terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan buku lali.

Bagaimanapun, Osorio menanduk masuk gol untuk Valladolid pada minit-minit terakhir sekaligus memaksa Real kini mengharapkan satu keajaiban berlaku untuk merangkul kejuaraan liga musim ini.

Pasukan Carlo Ancelotti sedar yang mereka memerlukan kemenangan selepas seri 2-2 dengan Valencia tetapi ketiadaan Gareth Bale kerana kecederaan dan kini Ronaldo ternyata menjadikan usaha mereka semakin sukar.

Real Madrid secara matematik masih boleh memenangi kejuaraan liga dengan syarat Atletico dan Barcelona seri atau kalah dalam baki perlawanan mereka seterusnya.

Mereka juga akan bertemu Atletico dalam final Liga Juara-Juara Eropah hujung bulan ini.

Artikel Lain