PEMAIN pertahanan England dan Manchester United, Phil Jones sudah pastinya patah hati apabila dia diberitahu yang kecederaan bahu yang dialaminya ketika menentang Hull City pada malam Selasa lalu adalah serius sekaligus memaksanya melupakan saingan Piala Dunia yang akan bermula Jun ini. Selepas melakukan ujian imbasan semalam, Jones disahkan mengalami kekoyakan otot bahu yang memerlukannya berehat sehingga sebulan lebih. Sementara ujian sinar-x mengesahkan tiada tulang yang patah atau retak tetapi ujian imbasan mendapati otot bahunya telah terkoyak dengan teruk sekali selepas dia berlanggar dengan Maynor Figueroa ketika berebut untuk menanduk bola di hadapan pintu gol Hull City. Dalam perlawanan itu, United menang 3-1. Ia adalah perlawanan terakhir di tempat sendiri oleh United musim ini. Pengurus England, Roy Hodgson akan mengumumkan senarai 23 pemain skuad Piala Dunia England Isnin depan. Sejak Hodgson mengambil alih pengurusan skuad kebangsaan, Jones adalah salah seorang pemain regularnya. Skuad England akan memulakan kem latihan intensif mereka di Portugal pada 19 Mei ini. Dengan kecederaan yang dialami oleh Jones, Hodgson, kini telah kehilangan lima pemain utamanya. Empat yang lain ialah Kyle Walker, Jack Wilshere, Alex Oxlade-Chamberlain dan Phil Jagielka. "Perkara paling utama yang perlu kami lakukan ialah tidak membawa pemain-pemain yang tercedera yang tidak dapat sembuh menjelang latihan pusat pertengahan Mei nanti," tegas Hodgson sambil menambah yang dia memerlukan setiap pemainnya cergas sebaik sahaja kempen Piala Dunia bermula.