suria

Terengganu Kekal Tangga Ke-4 Liga Super

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 berdepan 'adik' mereka, T-Team dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan skuad Penyu kendalian Abdul Rahman Ibrahim kekal di tangga keempat liga selepas mengumpul 23 mata manakala T-Team kedudukan ke-11 dengan 14 mata.

Terengganu berada di hadapan menerusi sepakan percuma Zairo Anuar Zailani pada minit ke-35 sebelum Jimmy Mulisa menyamakan kedudukan untuk skuad 'The Titans' pada minit ke-76.

Dalam satu lagi pertemuan, Perak meraih tiga mata apabila menang 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, Ipoh.

Pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam muncul wira skuad 'The Bos Gaurus' selepas mencipta dua jaringan pada minit ke-40 dan 86' sebelum Juan Manuel Arostegui merapatkan defisit jaringan untuk ATM pada minit ke-90.

Dalam saingan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, namun ia tidak mengubah kedudukan mereka di persada liga.

Skuad 'Sabahawks' berada di hadapan hasil sentuhan penyudah Zainizam Marjan pada minit ke-28 dan Marwan Sayedeh (54') sebelum PDRM mengikat kedudukan hasil gol Bobby Gonzalez (72') dan Rafael De Souza (89').

Felda United FC pula mengukuhkan kedudukan kedua liga selepas meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan hasil jaringan tunggal Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-77 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pasukan Kedah berpesta gol selepas membenam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) dengan kemenangan selesa 7-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Tujuh gol skuad 'Helang Merah' dijaring oleh Khairul Helmi Johari pada minit ketiga, Mohamad Syamim Alif Mohd Sobri (7' dan 38'), Namgung Woong (11', 43') dan Billy Mehmet Osman (62' dan 77') manakala dua gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Kaye Edrisar (75-penalti) dan Muhammad Zamri Hasan A. Manap (80').

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Aznie Taib muncul wira pasukan pasukan Johor Darul Ta'zim II apabila meledak dua jaringan pada minit ke-34 dan 40' bagi membolehkan mereka meraih tiga mata berharga ke atas pasukan tercorot liga, Perlis.

Pertemuan dua wakil kelab Lembah Klang menyaksikan DRB Hicom FC mengalahkan SPA Putrajaya FC dengan kemenangan 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sementara itu, hujan lebat dan petir yang melanda pada separuh masa kedua memaksa perlawanan antara UiTM FC dan Pulau Pinang di Stadium UiTM, Shah Alam ditunda kepada Sabtu.


Terengganu, T-Team, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain