suria

Piala Thomas: Wei Feng Sedia Pikul Tugas Perseorangan Ke-2

PETALING JAYA: Pemain badminton negara, Chong Wei Feng sedia menyahut cabaran untuk mewakili negara sebagai pemain perseorangan ke dua pada kejohanan berprestij, Piala Thomas yang akan berlangsung di New Delhi pada 18 hingga 25 Mei ini.

Pemain berusia 26 tahun yang menyertai pasukan negara dua tahun lalu sebelum ini ditempatkan di kerusi simpanan. Ketika itu, Wei Fung di kedudukan ke empat di belakang Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren dan Muhd Hafiz Hashim.

Di Wuhan,  juara disandang pasukan China berikutan kecederaan yang dialami Chong Wei pada perlawanan akhir kumpulan menentang Denmark. Malaysia tewas 3-0 kepada China.

Bagaimanapun, di New Delhi nanti, Wei Feng kini bakal memikul tanggungjawab berat apabila diletakkan sebagai perseorangan kedua, sekali gus perlawanan penting bagi menentukan sama ada pasukan negara akan mara ke pusingan seterusnya atau sekadar seri.

Menyedari tugas penting itu, Wei Feng kini semakin gigih berlatih untuk meletakkan negara pada kedudukan terbaik nanti.

"Piala Thomas kali ini adalah kejohanan yang besar buat saya. Saya bersedia untuk berhadapan cabaran dalam kejohanan itu.

"Walaupun berjaya tersenarai dalam pasukan di Wuhan dua tahun lalu, saya hanya pemain simpanan, tetapi kali ini segalanya berbeza kerana saya pasti akan bermain dan memberi mata untuk negara sebagai pemain perseorangan kedua," katanya yang kini menduduki tangga ke-27 pemain dunia.

Wei Feng yang berjaya ke peringkat separuh akhir di Terbuka China tahun lalu berkata, prestasinya kini semakin baik berbanding ketika Sukan SEA di Myanmar apabila tewas di pusingan pertama kepada pemain Thailand, A Suppanyu.

"Saya memang berharap untuk bermain dengan baik di New Delhi dan menyumbang sebanyak mata yang boleh untuk pasukan. Diharap saya dapat sampai ke peringkat separuh akhir seperti mana yang disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," katanya.

Pemain lain dalam pasukan negara pada Piala Thomas kali ini adalah Chong Wei, Daren and Goh Soon Huat.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Jerman dan India.

Artikel Lain