suria

Sijil Perpindahan Tagoe Dijangka Peroleh Pada Rabu

Tagoe (kiri) dijangka beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak pada Sabtu ini.

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain importnya Prince Tagoedijangka diperoleh pada Rabu.

"Baru sebentar tadi agen pemain berkenaan Mohamed Mroweh mengesahkan sijil ITC milik Tagoe telah sampai ke FAM dan lesen bermainnya akan dikeluarkan Rabu ini," kata Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa di laman Facebooknya, Selasa.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kafa tidak dapat menggunakan khidmat pemain dari Ghana itu bagi pusingan kedua Liga Super selepas gagal mendapatkan ITC.

Prince Tagoe merupakan antara pemain import baharu yang dibawa masuk Kafa selain pemain pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman yang menggantikan tempat Mohammad Ghaddar (Lubnan). 

Beliau berkata penyerang Ghana itu dijangka beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak pada Sabtu.

"Semua masalah berkaitan Tagoe telah selesai sepenuhnya dan dia layak beraksi Sabtu ini bertemu Perak," jelas Annuar.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super, Perak menewaskan Kelantan 1-2 di Stadium Perak, Ipoh. 

Kelantan kini berada di kedudukan kelima liga selepas 15 perlawanan dengan 22 mata, sembilan mata di belakang pendahulu liga Selangor.

Prince Tagoe, Kafa, Annuar Musa

Artikel Lain