suria

Atletico Madrid Juara La Liga Selepas 19 Tahun

Atletico Madrid muncul juara La Liga buat pertama kali selepas 19 tahun apabila seri 1-1 dengan Barcelona dalam perlawanan akhir liga di Barcelona pada Sabtu.

ATLETICO Madrid mencipta sejarah menjuarai La Liga selepas 19 tahun apabila seri 1-1 dengan juara bertahan Barcelona pada Sabtu.

Ia juga satu sejarah buat pengurus Atletico, Diego Simeone. Sembilas belas tahun yang lalu dia adalah pemain Atletico ketika mereka muncul juara buat pertama kali dan kini dia sekali lagi menjulang trofi La Liga tetapi sebagai pengurus pasukan yang sama.

Diego Simeone adalah perancang dan pemangkin kepada kebangkitan Atletico dalam Liga Sepanyol dan berjaya memecah dominasi Barcelona dan Real Madrid dalam fesyen yang penuh bergaya.

Bayangkan pada 1996, dia mengepalai Atletico sebagai kapten dan menang La Liga dan juga Piala Raja Sepanyol.

Kemudian dia kembali sebagai pengurus mereka dan sekali lagi melakukan transformasi untuk kali yang kedua. Ia bermula dengan muncul juara Liga Europa pada 2012, kemudian diikuti Copa del Rey pada 2013 dan 2014 sebagai juara liga yang baru.

Simeone masih mampu menambah trofi untuk tahun yang penuh gemilang ini dengan satu perlawanan sahaja lagi iaitu menentang Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Sabtu depan.

Pemain-pemain serta pegawai kelab Atletico Madrid meraikan kejayaan juara La Liga 2013/14.

Sementara itu dalam perlawanan ini, hero Atletico bukannya penjaring terbanyak mereka, Diego Costa sebaliknya Diego Godin apabila tandukannya diawal separuh masa kedua mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Sebelum itu iaitu pada minit ke-33, Barcelona mendahului menerusi gol Alexis Sanchez. Untuk seketika kelihatan seperti juara sudah kepunyaan Barcelona.

Kedudukan seri sudah memadai untuk Atletico Madrid dinobatkan sebagai juara tetapi Barcelona wajib menang mempertahankan kejuaraan.

Musim ini agak unik kerana penentu juara ditentukan oleh dua pasukan yang sama-sama berpeluang muncul juara dalam perlawanan penutup musim.

Lebih menarik lagi ialah perlawanan ini berlangsung di Nou Camp iaitu stadium Barcelona yang juga stadium terbesar di benua Eropah yang mampu memuatkan lebih 97,000 penonton.

Diego Costa yang menjadi tumpuan ramai dan dilihat sebagai pemain yang mampu menentukan nasib Atletico terpaksa dibawa keluar padang pada minit ke-16 selepas mengalami kecederaan otot.

Sebaik sahaja dia keluar dan duduk di bangku simpanan, Costa dilihat tunduk sambil menutup wajahnya.

Perlawanan ini menyaksikan Lionel Messi tidak menyerlah. Dia menjaringkan gol pada separuh masa kedua hanya untuk dibatalkan kerana off-side.

Seorang lagi pemain bintang Barcelona, Neymar tidak diturunkan dalam kesebelasan utama sebaliknya dia hanya dibawa masuk pada 10 minit terakhir permainan tetapi sudah terlambat untuk menyelamatkan keadaan.

Barcelona: Pinto, Alves, Pique, Mascherano, Adriano, Sergio, Cesc, Iniesta, Alexis, Pedro, Messi.

Simpanan: Olazabal, Xavi, Neymar, Jordi Alba, Song, Bartra, Tello.

Atletico Madrid: Courtois, Juanfran, Miranda, Godín, Filipe Luis, Gabi, Tiago, Koke, Arda Turan, Villa, Costa.

Simpanan: Aranzubia, Alderweireld, Sosa, Mario Suarez, Diego, Adrian, Raul Garcia.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain