LOUIS van Gaal secara rasmi dinamakan sebagai pengurus pasukan Manchester United yang baru sementara Ryan Giggs dilantik sebagai penolong pengurus. Van Gaal, 62, menandatangani kontrak selama tiga tahun bagi menggantikan David Moyes yang dipecat April lalu selepas 10 bulan mengantikan Sir Alex Ferguson. Dia adalah pengurus bukan British yang pertama dalam sejarah kelab itu. Van Gaal yang pernah memenangi gelaran juara bersama Ajax, Barcelona, Bayern Munich dan AZ Alkmaar akan bertanggungjawab di Old Trafford selepas mengetuai Belanda dalam temasya Piala Dunia di Brazil bulan depan. "Kelab ini mempunyai cita-cita besar. Saya juga mempunyai cita-cita yang besar. "Jadi dengan itu saya pasti kita akan mencipta sejarah," katanya dalam satu kenyataan bersama. Ini adalah pengalaman pertama Van Gaal dalam Liga Perdana Inggeris. "Untuk bekerja sebagai pengurus Manchester United...kelab terbesar di dunia, ia membuatkan saya sangat bangga," katanya lagi. Ryan Giggs Sementara itu, Giggs dalam satu kenyataan sebaik sahaja diumumkan sebagai penolong pengurus United yang baru mengisytiharkan persaraannya sebagai pemain bolasepak profesional pada usia 40 tahun. Selepas 963 perlawanan mewakili United di semua peringkat pertandingan, 34 trofi dan 23 tahun sebagai pemain, Giggs berkata sudah tiba masanya beliau melangkah masuk ke satu era baru dalam hidupnya iaitu selaku penolong pengurus. SEJARAH PENCAPAIAN VAN GAAL SELAKU PENGURUS: Ajax Amsterdam Liga Juara-Juara Eropah: 1995 Piala Uefa: 1992 Piala Super Uefa: 1995 Juara Liga Belanda: 1994, 1995, 1996 Piala Intercontinental: 1995 Piala Perisai Johan Cruyff: 1993, 1994, 1995 KNVB-Beker (Piala Belanda): 1993 Barcelona La Liga: 1998, 1999 Copa Del Rey: 1998 Piala Super Uefa: 1997 AZ Alkmaar Liga Belanda: 2009 Bayern Munich Juara Bundesliga: 2010 DFB-Pokal: 2010 DFB-Supercup: 2010 LAIN-LAIN ANUGERAH: Anugerah Pengurus Bolasepak Dunia: 1995 Anugerah Jurulatihan Belanda: 2009 Anugerah Pengurus Terbaik Liga Jerman: 2010