suria

Bekas Kapten Luis Enrique Kembali Ke Barcelona Sebagai Pengurus Baru

Bekas kapten Barca, Luis Enrique diumumkan sebagai pengurus baru pada lewat Isnin mengantikan Gerardo Martino.

BARCELONA mengumumkan yang mereka telah melantik bekas kapten Luis Enrique sebagai pengurus yang baru mengantikan Gerardo Martino.

Di bawah Martino, Barcelona menutup musim ini tanpa sebarang piala - sesuatu yang janggal dan tidak boleh diterima oleh kelab itu dan juga para penyokong. Martino hanya mampu bertahan semusim sahaja di Barca.

Pelantikan itu juga memperlihatkan falsafah Barcelona yang kembali kepada bekas pemain mereka sendiri untuk memimpin kelab itu sebagaimana mereka melakukannya ketika melantik Pep Guardiola dahulu.Mereka memerlukan DNA mereka sendiri untuk memastikan kejayaan yang berterusan.

Enrique, 44, sebelum ini adalah pengurus Celta Vigo tetapi telah meletakkan jawatannya dengan Celta sebaik sahaja musim ini tamat minggu lalu sekaligus mencetuskan spekulasi yang dia akan kembali ke kelab asalnya.

Dia akan menandatangani kontrak dua tahun.

Namanya telah dicalonkan kepada Lembaga Pengarah Barcelona oleh Pengarah Bolasepak Barca,  Andoni Zubizarreta yang juga sepertimana Enrique adalah bekas pemain kelab itu.

Enrique yang juga bekas pemain antarabangsa Sepanyol bermain untuk Barcelona dari 1996 hingga 2004. Sebelum itu dia adalah pemain Real Madrid selama lima tahun.

Luis Enrique memenangi dua gelaran La Liga bersama Barcelona termasuklah Copa del Reys dan Piala Juara-Juara.

Selepas bersara, dia memulakan kariernya sebagai pengurus bersama pasukan B Barcelona sebelum berhijrah ke Roma tetapi hanya mampu bertahan semusim selepas mengemudi mereka ke tangga ketujuh Serie A.

Tetapi falsafah kerjanya di Celta Vigo yang mencuri perhatian Zubizarreta dan anggota lembaga Barca. Dia membimbing kelab itu dari tangga tercorot ke tangga kesembilan liga musim ini.

Artikel Lain