KOTA BAHARU: Kelantan perlu berwaspada dengan kelibat penyerang import T-Team, Jimmy Mulisa dan Patrich Wanggai pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini. Kapten pasukan 'The Red Warriors', Mohd Badri Mohd Radzi berkata kedua-dua penyerang itu mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Kelantan. Dia berkata T-Team sudah pasti akan beraksi secara agresif bagi mendapatkan kemenangan untuk mengelak pasukan Pantai Timur itu daripada zon penyingkiran ke Liga Perdana musim depan. "Kami menghormati pasukan T-Team kerana mereka mampu memberikan masalah buat kami, jadi kita tidak ambil mudah pertemuan ini," kata Mohd Badri, yang lebih mesra disapa Piya. Memandangkan situasi T-Team yang masih bergelut untuk mengelak zon penyingkiran dalam baki enam perlawanan, katanya, pasukan lawan itu sudah pasti bertekad untuk mengumpul tiga mata penuh. Walaupun ketinggalan sembilan mata untuk memintas pendahulu liga Selangor,Piya menuntut rakan sepasukannya mempamerkan semangat juang yang tinggi pada setiap perlawanan. Beliau berkata pasukannya tidak boleh tercicir mata sebaliknya perlu konsisten pada baki enam perlawanan jika mahu berada pada kedudukan terbaik liga musim ini. Selepas 16 perlawanan, Kelantan menghuni tangga keenam liga dengan 25 mata manakala T-Team berada di tangga kesembilan dengan 16 mata. Piya berharap penyerang import Francis Forkey Doe dan penyerang terbaru pasukan, Prince Tagoe dapat diturunkan selepas kedua-dua pemain itu direhatkan pada perlawanan menentang Perak, Sabtu, lepas. Pada aksi pusingan pertama Liga Super, Kelantan berjaya menewaskan T-Team 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV.