suria

Tottenham Hotspur Dijangka Umum Mauricio Pochettino Sebagai Pengurus Baru

KELAB dari London, Tottenham Hotspur dijangka mengumumkan pelantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baru mereka minggu ini selepas Southampton dilaporkan gagal menyakinkannya untuk terus kekal bersama mereka musim depan.

Akhbar United Kingdom, The Guardian melaporkan, Spurs telah pun selesai mengadakan rundingan dengan Pochettino dan hanya menunggu beberapa perincian lain untuk diselesaikan sebelum membuat pengumuman rasmi minggu ini.

Pelantikan beliau adalah untuk mengantikan Tim Sherwood, yang dipecat oleh Pengerusi Spurs, Daniel Levy sebaik sahaja musim lalu tamat dua minggu lalu.

Sherwood dipecat walaupun berjaya membawa Spurs menduduki tangga keenam liga - jauh lebih baik daripada Manchester United - tetapi mulutnya yang celupar dan tidak dapat dikawal dalam setiap sidang media membuatkan lembaga pengarah tidak selesa dengannya. 

Selain Pochettino, Spurs juga turut memancing Pengurus Ajax, Frank de Boer.

Tetapi tindakan de Boer mendedahkan hasrat Spurs untuk mendapatkan khidmatnya sebelum musim tamat telah membuatkan pihak pengurusan Spurs patah hati.

Southampton pada masa yang sama cuba untuk terus bertahan dengan Pochettino, 42, tetapi kegagalan pihak kelab memberi jaminan kepadanya yang mereka tidak akan menjual bintang-bintang ternama seperti Luke Shaw, Adam Lallana dan Rickey Lambert yang kesemuanya kini berada bersama skuad kebangsaan England telah menjejaskan peluang tersebut.

Lallana, kapten mereka, disebut-sebut akan menyertai Liverpool musim depan manakala Manchester United bersedia membayar sehingga £30 juta untuk pemain bek kiri Shaw.

Pochettino dikatakan membuat kesimpulan yang Southampton tidak akan dapat memenuhi misi dan objektif beliau musim depan.

Sebaliknya Tottenham mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menyediakan prasarana dan sumber untuk dia membina sebuah pasukan yang lebih mantap musim depan.

Satu lagi faktor yang akan menyebabkan Pochettino meninggalkan Southampton ialah peletakan jawatan Nicola Cortese sebagai pengerusi kelab itu Januari lalu. Cortese 'dipaksa' melepaskan jawatannya selepas Katharina Liebherr mengambil alih pemilikan kelab itu daripada bapanya yang telah meninggal dunia.

Ketika hayat bapanya, Cortese diberi kepercayaan penuh untuk menguruskan kelab tersebut tanpa campur tangan anggota lembaga. Tetapi selepas Katharina dilantik sebagai anggota lembaga mengantikan kerusi bapanya, dia mahu kuasa yang lebih besar dalam menentukan perjalanan harian kelab tersebut.

Cortese sangat-sangat instrumental dalam membawa masuk Pochettino ke Southampton 16 bulan lalu dan mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat.

Pada masa yang sama, Southampton telah menjadi mangsa kejayaan mereka sendiri kerana kemunculan bintang-bintang baru di bawah asuhan dan bimbingan Pochettino telah menarik minat kelab-kelab besar dengan kocek yang jauh lebih besar untuk mengintai dan mencuri pemain mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain