PARIS: Novak Djokovic dan Roger Federer berjaya meletakkan dirinya antara 16 peserta terakhir dalam Terbuka Perancis selepas dipaksa mengharungi perlawanan selama empat set. Djokovic yang diletakkan sebagai pilihan kedua mengatasi pemain Croatia Marin Cilic dengan kemenangan 6-3, 6-2, 6-7 (2/7), 6-4. Kejayaan itu melebarkan rekod perlawanan Djokovic ke atas pemain pilihan ke-25 itu menjadi 9–0. Dalam perlawanan terbaharu itu menyaksikan Cilic melakukan 64 kesalahan mudah untuk membolehkan dia diatasi Djokovic. Naib juara Terbuka Perancis 2012 itu akan berdepan pemain pilihan ke-13, Jo-Wilfried Tsonga yang mengalahkan pemain Poland Jerzy Janowicz 6-4, 6-4, 6-3. Kata Djokovic, Cilic pemain yang sukar ditewaskan kerana memiliki banyak kekuatan serta kualiti sebagai pemain tenis yang baik. “Saya terpaksa bekerja keras kerana Cilic agresif dan saya tidak menjangkakannya,” katanya. Sementara itu Federer yang diletak sebagai pilihan keempat memerlukan masa lebih tiga jam untuk menumpaskan Dmitry Tursunov dari Russia. Dia mencatat kemenangan 7-5, 6-7 (7/9), 6-2, 6-4 dan membolehkannya memasuki pusingan suku akhir Terbuka Perancis untuk kali ke-12 dalam sejarah pembabitannya dalam sukan berkenaan. Federer akan berdepan cabaran Ernests Gulbis dari Latvia yang memasuki pusingan suku akhir untuk kali pertama sejak 2008. Gulbis, pemain pilihan ke-18 mengatasi wakil Czech, Radek Stepanek 6-3, 6-2, 7-5 dan melakukan 19 ace. Selepas perlawanan berakhir, Gulbis mencetus kekecohan dengan kenyataannya yang mendakwa wanita tidak mempunyai tempat untuk sukan tenis. “Wanita perlu menikmati hidup mereka dengan lebih baik, memikirkan keluarga, anak-anak. “Apa yang anda boleh fikirkan sehingga usia 27 tahun jika anda menjadi pemain tenis profesional?” katanya. Dia juga mendakwa sudah mempunyai rancangan bagi berhadapan dengan Federer. Keputusan lain: Tomas Berdych (Czech) mengalahkan Roberto Bautista Agut (Sepanyol) 6-1, 6-2, 6-7 (4/7), 6/4; Milos Raonic (Kanada) mengalahkan Gilles Simon (Perancis) 4-6, 6-3, 2-6, 6-2, 7-5. - AP