suria

Piala Thomas Bakar Semangat Wei Feng

Chong Wei Feng
PETALING JAYA: Pemain nombor dua negara, Chong Wei Feng pernah dilihat sebagai atlet yang gagal berada di bawah tekanan, namun itu hanyalah sejarah.

Sukan SEA di Myanmar, Disember lalu menyaksikan harapan tinggi diletakkan pada Wei Feng untuk menamatkan kemarau emas negara dalam sukan berkenaan, namun dia terpaksa pulang awal selepas tewas kepada pemain Thailand A. Spuppanyu di pusingan pertama.

Namun keadaan itu bertukar di pusingan akhir Piala Thomas baru-baru ini apabila Wei Feng menyumbang lima daripada enam mata penting kepada Malaysia.

Wei Feng yang akan berusia 27 tahun Isnin ini berkata, dia bersemangat semula selepas membantu Malaysia menjadi naib juara Piala Thomas.

“Piala Thomas membantu saya mendapatkan semula keyakinan dan menyedarkan bahawa saya boleh berjaya di bawah tekanan,” katanya.

Menurut pemain nombor 24 dunia itu, dalam beberapa perlawanan dia berjaya mengejar lawan walaupun tertinggal jauh.

Antaranya, kata Wei Feng, ketika dia berdepan dengan pemain Jerman, Dieter Domke.

“Selepas kalah dalam perlawanan pembukaan, saya dapati berada di kedudukan 2-10, kemudian kedudukan menjadi 7-14 tetapi entah bagaimana saya berjaya mengubah keadaan.

“Saya tahu saya tak boleh mengalah. Ia adalah perlawanan berpasukan dan kekalahan saya akan menjejaskan rakan lain dalam perlawanan seterusnya.

“Menghadapi Ken Momota di perlawanan akhir, saya memberikan segala kemampuan sebaik mungkin namun strategi tidak berjalan lancar,” katanya.

Kini dengan semangat yang tinggi Wei Feng tidak sabar untuk beraksi semula. Dia berharap kejohanan Terbuka Jepun antara 10 hingga 15 Jun ini akan mengubah nasibnya.

“Tahun ini saya kurang bernasib baik setakat ini, tetapi masih ada masa untuk mengubahnya.

“Matlamat saya seterusnya ialah layak untuk kali pertama ke pusingan akhir Superseries. Pencapaian terbaik saya setakat ini cuma masuk ke pusingan separuh akhir di Terbuka China tahun lalu.

“Dengan usaha yang lebih gigih saya harap saya mampu mencapai sasaran itu tahun ini,” katanya.

Di Terbuka Jepun nanti Wei Feng diundi berdepan dengan pemain nombor tujuh dunia dari Korea Selatan, Shon Won-ho di pusngan pertama dan kemungkinan Lin Dan (China) di pusingan kedua.

Artikel Lain