ALOR SETAR: Pendahulu Liga Perdana 2014, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan rekod tanpa kalahnya dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Perlis dalam pertemuan di Stadium Darul Aman, Isnin. Dengan tiga mata penuh yang diperolehi, PDRM mengumpul 43 mata, jauh meninggalkan pencabar terdekat Felda United yang mengumpul 37 mata serta Pulau Pinang, 36 mata. Dalam pertemuan tunggal Liga Perdana pada Isnin, PDRM memecah kebuntuan gol seminit sebelum tamat separuh masa pertama, sumbangan gol sendiri ketua pasukan Perlis Mohd Khairi Zainuddin yang tertanduk bola ke gawang sendiri dalam cubaan mengeluarkan bola dari kawasan penalti. Empat minit babak kedua bermula, PDRM menambah gol menerusi pemain import Charles Souza Chad yang menyudahkan percubaan Mohamadou Sumareh yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gawang Perlis, Mohd Amirul Rosli. Souza menjaringkan gol ketiga PDRM pada minit ke-65. Perlis yang ketinggalan 0-3 bagaimanapun bangkit dan merapatkan jurang pada minit ke-67 menerusi Dao Bakary dan Hadi Syahmi Hamzah (m-82).