VENICE: Pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir dijangka menamatkan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Aroma) di sini, Selasa. Isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Larian Aroma dijadualkan menyambut bekas Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia itu di Riva Sette De Marite pada 3 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia). Pengurus Besar Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Zuhairi Abdul Manaf berkata pelari berusia 41 tahun itu memulakan Larian Aroma di Beijing pada 30 Mac. "Larian itu meliputi empat benua dan 12 negara iaitu China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Croatia, Slovenia dan Itali dengan jarak 3,333 kilometer. "Suwaibah mendapat inspirasi daripada semangat dan keazaman Rosmah untuk menamatkan misi itu. Larian Aroma merupakan larian terakir beliau (Suwaibah) sebelum bersara," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Zuhairi berkata larian itu yang bertemakan 'Satu Dunia, Satu Harapan' bertujuan menyebarkan mesej keamanan. "Misi kemanusiaan itu adalah langkah kecil yang diambil oleh Suwaibah bagi membuktikan keazaman wanita menyahut cabaran. Beliau membuatkan negara merasa bangga," katanya. Ini merupakan larian ke-11 dan terpanjang yang pernah disertai Suwaibah. Larian Aroma adalah susulan kejayaan Suwaibah menamatkan larian merentasi Gurun Sahara di Mesir dengan jarak 1,111 kilometer pada 2012 di bawah inisiatif "Air untuk Gaza" bagi membantu membawa air bersih ke Gaza. Dana yang dikumpul melalui larian itu akan digunakan untuk menyumbang bahan-bahan solat dan aksesori ke pekan-pekan kecil di luar bandar yang didiami masyarakat Islam sepanjang larian manakala lebihan sumbangan itu akan disalurkan kepada Yakeb. Suwaibah ialah pemegang 10 rekod dalam Malaysia Book of Records.