KUALA LUMPUR: Malaysia akan menampilkan pelumba Moto2 negara Mohd Zaqhwan Zaidi atas tiket wildcard pada pusingan keenam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Sepang, hujung minggu ini. Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata penampilan pelumba berusia 19 tahun itu akan menyemarakkan lagi kepentingan sukan permotoran tempatan dalam perlumbaan tersebut. Mohd Zaqhwan akan bersaing dalam kategori Supersport 600cc. "Menjadi hos pusingan WSBK ini akan menyediakan platform penting untuk kami memperkenalkan bakat tempatan pada satu lagi perlumbaan kejuaraan dunia. "Selain itu ia juga akan menetapkan penanda aras pelumba tempatan terhadap standard antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini. Malaysia, yang mendapat hak menjadi tuan rumah selama tiga tahun, merupakan satu-satu negara Asia dipilih oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) untuk menganjurkan pusingan keenam daripada 14 pusingan dunia musim ini. Razlan berkata SIC akan berusaha membangunkan populariti siri perlumbaan superbike setanding dengan MotoGP Grand Prix Malaysia menjelang 2020. "Oleh kerana ini merupakan tahun pertama penganjuran perlumbaan pusingan WSBK, maka kami tidak mengharapkan jumlah penonton seperti perlumbaan MotoGP atau Formula 1," katanya. Pusingan keenam WSBK di Litar Sepang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.