suria

Sukma Ke-17 Ditutup Penuh Berwarna-Warni

MERIAH... Walaupun hujan, majlis penutup SUKMA XVll Perlis 2014 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar tetap berjalan dengan lancar, malam Rabu.-fotoBERNAMA
KANGAR: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang berlangsung sejak 24 Mei lepas ditutup secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Syed Putra, di sini malam Rabu.

Majlis gilang-gemilang itu turut disaksikan kira-kira 20,000 penonton yang datang dari seluruh pelusuk negeri Perlis dan negeri-negeri berhampiran yang membanjiri stadium berkenaan sejak pukul 4 petang walaupun acara berlangsung dalam keadaan hujan.

Temasya sukan dua tahun sekali ini yang bermula pada 1986, disertai lebih 5,000 pegawai dan atlet dari seluruh negara termasuk Brunei selaku kontinjen jemputan. 

Majlis penutup itu didahului dengan gimik kemunculan maskot temasya kali ini 'Singa Utara' dengan persembahan multimedia sebelum perarakan masuk semua kontinjen yang bertanding. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Piala Perdana Menteri kepada pasukan Wilayah Persekutuan yang muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 55 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa.

Sementara atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet angkat berat Majlis Sukan Negeri Sarawak, Jenilie Empera masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukma ke-17.

Sejurus selepas itu diikuti upacara menurunkan bendera dan memadamkan obor kejohanan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kemudiannya menyerahkan bendera kejohanan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong selaku tuan rumah Sukma ke-18 tahun hadapan.

Ia disusuli dengan persembahan lagu tema Sukma Perlis, 'Satu harapan Satu Impian' dengan iringan tarian oleh seramai 200 penari gabungan sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Kemunculan artis terkenal tanah air, Amy Search ketika persembahan penutup Sukma Perlis dengan mendendangkan lagu popularnya antaranya 'Isabella' sambil diiringi 500 artis Euphoria yang memegang lampu LED dari laluan bawah pentas ke podium di tengah padang memeriahkan upacara tersebut.

Kemuncak majlis penutup edisi ke-17 Sukma, penonton terpukau dengan percikan bunga api yang mewarnai angkasa sekitar stadium berkenaan.

Sukma 2014, Perlis

Artikel Berikut

Artikel Lain