LONDON: Juara Wimbledon Andy Murray membuat keputusan mengejutkan apabila melantik wanita Perancis Amelie Mauresmo sebagai jurulatih baharunya, Ahad. Pasukan pengurusan Murray mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan bahawa Mauresmo akan memulakan khidmatnya dengan pemain dari Scotland itu. "Saya teruja dengan perkongsian baru ini dan saya sering melihat Amelie serta sentiasa mengaguminya," Murray menulis di laman web rasminya. "Dia menghadapi banyak kesulitan dalam kerjayanya, tetapi adalah seorang pemain yang hebat dan memenangi gelaran utama, termasuk Wimbledon." Murray telah mencari jurulatih sejak berpisah dengan Ivan Lendl pada bulan Mac dan dikaitkan dengan nama-nama besar termasuk legenda Amerika John McEnroe dan jurulatih utama Larry Stefanki, Darren Cahill dan Roger Rasheed. Tetapi akhirnya dia memilih Mauresmo, bekas pemain nombor satu dunia. Keputusan pemain berusia 27 tahun ini mendapatkan khidmat seorang wanita akan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pertaruhan, tetapi Mauresmo, yang memenangi Wimbledon pada tahun 2006 sebelum bersara pada tahun 2009, telah mempunyai pengalaman menjadi jurulatih kepada pemain lelaki. Mauresmo, juara Grand Slam sebanyak dua kali yakin dia boleh membantu Murray kembali ke landasan, sama ada kerjasama itu merupakan usaha jangka panjang atau pendek. "Saya benar-benar teruja kerana dapat bekerjasama dengan Andy," beliau yang berusia berusia 34 tahun itu memberitahu laman web Murray. "Dia seorang pemain tenis mempunyai bakat menakjubkan dan saya rasa saya mempunyai banyak untuk ditawarkan untuk beliau dan pasukan di sekelilingnya. "Saya tidak sabar untuk bekerja dan membantu beliau memenangi lebih banyak kejohanan Grand Slam."