SAO PAULO: Penyanyi sensasi, Jennifer Lopez tidak akan membuat persembahan bersama rakan artis, Pitbull dan Claudia Leitte pada upacara perasmian Piala Dunia Fifa 2014 di Brazil, Khamis ini. Pegawai Fifa memaklumkan, penyanyi itu tidak akan menyampaikan lagu rasmi kejohanan yang akan bermula minggu ini. "Lopez tidak akan membuat persembahan pada majlis yang akan berlangsung Khamis ini kerana masalah produksi yang tidak dimaklumkan dengan jelas," kata pegawai organisasi bola sepak yang juga penganjur kejohanan itu. Malahan, wakil penyanyi itu juga tidak menjelaskan alasan kenapa Lopez tidak akan bersama pada persembahan pembukaan yang akan diadakan di Sao Paulo itu nanti. Sebaliknya, mereka hanya mengesahkan mengenai ketidakhadiran Lopez menerusi emel dengan nota ringkas: "Dukacita dimaklumkan Jennifer Lopez tidak akan menghadiri upacara pembukaan Piala Dunia tahun ini." Menerusi siaran media, Fifa memberitahu, penyanyi rap Cuba-Amerika, Pitbull dan penyanyi Brazil, Leitte akan menyampaikan lagu rasmi kejohanan kali ini berjudul, 'We Are One' sebelum bermulanya perlawanan sulung antara Brazil menentang Croatia. Lagu itu menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan rakyat Brazil kerana ia tidak disampaikan rakyat kelahiran negara itu sepenuhnya kerana Leitte hanya muncul beberap saat pada akhir lagu itu.