PELUMBA Australia, Daniel Ricciardo melakar kejutan apabila memperoleh kemenangan pertamanya pada perlumbaan Formula Satu (F1) selepas mencatat masa terpantas di Grand Prix Kanada, awal pagi Isnin. Ricciardo diikuti rapat pelumba Mercedes, Nico Rosberg yang menamatkan saingan di tempat kedua selepas bermula di petak hadapan sebelum saingan bertukar sengit di Litar Gilles Villeneuve, Montreal. Juara tahun lalu, Sebastian Vettel dari Red Bull sekadar menduduki tempat ketiga. "Saya masih lagi terkejut dan pada masa sama merasakan kemenangan ini sesuatu yang menakjubkan," katanya. Rosberg masih kekal sebagai pendahulu kejuaraan dengan 22 mata manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton terpaksa menamatkan saingan pada pusingan ke-49 selepas jenteranya menghadapi masalah brek belakang. "Ia perlumbaan hujung minggu yang baik dan kutipan mata amat penting. Jadi saya amat gembira sekarang," kata Rosberg yang menang di Monaco, dua minggu lalu.