KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino iaitu cuaca panas kering yang dijangka melanda negara ini tidak menjejaskan jadual atlet negara dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang masing-masing akan berlangsung pada Julai dan September ini. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata ini kerana cuaca panas bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi semua atlet di Malaysia. "Kita telah memberikan pendedahan kepada atlet bagaimana untuk menghadapi cuaca panas dari segi hidrasi, radiasi, begitu juga dengan jurulatih serta pengurus pasukan. Mereka telah dimaklumkan dari aspek bagaimana mengimbangkan latihan fizikal," katanya pada Khamis. Katanya bagaimanapun, ISN sentiasa memantau tahap kesihatan serta pengambilan zat makanan di kalangan atlet bagi mengelak mereka mengalami masalah kesihatan seperti hidrasi selain memastikan mereka mendapat tenaga yang mencukupi. Mei lepas, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini. Ketua jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata fenomena tersebut tidak memberi kesan memandangkan selama ini latihan dilakukan pada waktu malam. Zuraidi berkata ia sekali gus membantu atlet menyesuaikan perubahan masa apabila berada di Glasgow, Scotland, Julai ini. "Latihan kita pada pukul 4 petang hingga 11 malam di Bukit Kiara, manakala pada waktu siang kita buat latihan fizikal di gimnasium. "Dalam seminggu tiga kali latihan, oleh itu tak ada apa-apa kesan besar kepada atlet," katanya sambil berharap agar seluruh rakyat mendoakan pasukan Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas. Pandangan sama turut dikongsi Pengurus Sukan Menembak Majlis Sukan Negara (MSN), Lt Kdr Mohd Emran Zakaria, yang mengakui perubahan cuaca yang dijangka melanda negara tersebut tidak menjejaskan jadual latihan bagi atlet menembak kerana dilakukan di lapangan sasar berbumbung MSN. "Kami mempunyai kawasan latihan berbumbung, jadi atlet tidak terdedah kepada pancaran matahari, namun mereka dinasihatkan untuk minum lebih banyak air untuk kekal terhidrat dan menjaga kesihatan mereka dengan baik dalam persekitaran cuaca panas. "Sehingga kini, jadual latihan enam hari seminggu dengan dua sesi pagi dan petang pada setiap hari berjalan seperti biasa dan bagi saya ia sudah memadai untuk mereka menghadapi pertandingan," katanya. Bagi ketua jurulatih skuad ragbi negara, Yusli Ramli tiada perubahan jadual latihan dilakukan kerana atlet hanya mempunyai tiga minggu sahaja lagi bagi menghadapi Sukan Komanwel. Yusli berkata jadual latihan tetap dijalankan seperti biasa iaitu lima kali seminggu dan dilakukan di luar serta dalam gimnasium. "Sebelah pagi pukul 7.30 hingga 9.30 pagi dan 5.30 hingga 7 petang, latihan akan dibuat di padang manakala pukul 2 hingga 3 petang kita akan buat latihan di dalam gimnasium," katanya, Katanya MSN ada menasihati para atlet untuk mengambil makanan tambahan dan memastikan pengambilan air yang cukup bagi mengelakkan daripada mengalami hidrasi. Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman berkata jadual latihan atlet tidak akan berubah walaupun atas faktor cuaca. Katanya persiapan latihan enam kali seminggu dengan purata empat hingga enam jam sehari masih diteruskan di lebuh raya bagi menguji daya ketahanan atlet selain meningkatkan prestasi mereka untuk menghadapi Sukan Komanwel. "Buat masa ini, atlet berada di Korea Selatan untuk kejohanan Tour of Korea 2014 yang akan berakhir 15 Jun ini dan sekembalinya mereka ke tanah air, latihan akan terus dijalankan seperti biasa memandangkan kami belum mendapat 'lampu hijau' daripada persatuan untuk penjadualan semula latihan berhubung keadaan cuaca itu. "Hanya jika cuaca hujan sahaja, atlet akan dilatih di kawasan berbumbung untuk memastikan keselamatan mereka," katanya.