WALTER Ferreira menangguhkan rawatan kanser yang dihadapinya bagi memastikan Luis Suarez cergas sebelum perlawanan bertemu England Rabu lalu. Ferreira,63, yang bertindak sebagai pakar fisioterapi pasukan perlu menjalani rawatan sebelum Piala Dunia bermula. Keputusannya menangguhkan rawatan tersebut berbaloi selepas Suarez berjaya memberi kemenangan kepada Uruguay 2-1 ketika bertemu England. Sebaik sahaja menjaringkan gol pertama, Suarez terus berlari ke arah Ferreira dan memeluknya. Ferreira merupakan orang yang penting dalam perlawanan ini bagi memastikan Suarez cergas selepas menjalani pembedahan lutut bulan lalu. "Saya gembira menjadi salah seorang pegawai pasukan ini dan yakin dengan Suarez," jelas Ferreira. Suarez berkata, jika bukan kerana Ferreira, dia tidak akan ada di situ. "Saya banyak menangis bersamanya kerana ketika saat sukar dan Ferreira sentiasa bersama saya," jelas Suarez.