MADRID: Real Madrid telah bersetuju untuk menandatangani penjaga gol bernilai dari Costa Rica, Keylor Navas dengan kontrak selama enam tahun selepas teruja dengan aksinya pada Piala Dunia.
"Pemain itu akan tiba pada Selasa ini...dia akan diperkenalkan di Stadium Bernabeu sebelum melalui ujian perubatan," menurut Real menerusi laman webnya.
Bekas kelab Navas iaitu Levante turut mengesahkan perpindahan itu dan mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan pemain berkenaan ketika mewakili pasukan tersebut.
Levante dilapor terpaksa melepaskan Navas kepada pencabarnya dalam Laliga bagi memulihkan masalah kewangan kelab.
Media melaporkan, Navas dilepaskan kelabnya menerusi pembelian kontrak dengan nilai sebanyak 10 juta Euro.
Navas tampil sebagai antara penjaga gol terbaik dunia apabila berjaya beraksi cemrlang sepanjang saingan Piala Dunia di Brazil lalu.