ARSENE Wenger mempertikai kuasa kewangan syarikat Kumpulan Bolasepak City yang memiliki tiga buah kelab termasuk Manchester City apabila menggunakan pemilikan mereka untuk meminjamkan Frank Lampard ke kelab berkenaan.
Kumpulan Bolasepak City mempunyai pemilikan terhadap tiga buah kelab iaitu Manchester City, New York City FC dan Melbourne City.
Lampard yang dilepaskan Chelsea telah menandatangani kontrak bersama New York City FC tetapi dipinjamkan kepada Manchester City sehingga Januari depan.
Tindakan percaturan pemain oleh syarikat tersebut menimbulkan persoalan bagi Wenger kerana ia didakwa telah melanggar peraturan kewangan yang ditetapkan Fifa (FFP).
Bagaimanapun, pengendali Chelsea, Jose Mourinho menyokong tindakan Lampard serta mengalu-alukan kepulangan pemain berusia 36 tahun itu selepas ini.
Tindakan City meminjam Lampard dipercayai kerana ingin memenuhi kuota lima pemain tempatan dalam saingan Liga Juara-juara Eropah.
Wenger mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai perang psikologi praperlawanan skuad Arsenal menentang Manchester City pada saingan Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada Ahad.