KELAB paling kecil dalam liga perdana Eropah, Eibar yang hanya mempunyai stadium dengan kapasiti 5,000 tempat duduk dan baru dinaikkan ke La Liga musim ini membuat kejutan pertama mereka dengan menumpaskan kelab tangga ketujuh musim lalu, Real Sociedad 1-0. Javi Lara menjaringkan gol Eibar menerusi sepakan percuma yang cantik dalam perlawanan pertama mereka di liga perdana Sepanyol, Ahad. Stadium Ipurua yang hanya mampu memuatkan lebih sedikit 5,000 penonton bersorak gembira dengan jaringan tersebut sejuru sebelum separuh masa tamat. Inilah pertama kali dalam sejarah 74 tahun kewujudan mereka, Eibar bermain di peringkat tertinggi. Hanya tiga tahun yang lalu Eibar bermain di Divisyen 3 Liga Sepanyol kemudian memperolehi kejayaan naik ke Divisyen 2, tahun lalu dan kini berjaya mendaki ke La Liga dan akan menerima kunjungan kelab-kelab ternama dunia seperti Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid. Sabtu depan mereka akan bermain menentang juara bertahan, Atletico Madrid di tempat lawan. Sesuatu yang menarik mengenai Eibar ialah oleh kerana mereka tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti akan bermain di dalam satu liga dengan Barcelona, mereka telah 'meniru' corak jersi Barcelona sebagai jersi pasukan mereka. Maka mereka kini menggunakan jersi yang hampir sama dengan Barcelona. Cuma yang membezakan mereka dengan Barcelona ialah jenama jersi mereka dan kapasiti stadium.