> Old Trafford kini terima akibat beli pemain yang salah > Louis van Gaal tiba untuk dapati skuad diwarisinya tiada kualiti > Van Gaal juga warisi barisan pemain pertahanan yang tak boleh diharap > Analisis menunjukkan enam tahun terakhir Ferguson punca bermulanya krisis > Ferguson melabur £160 juta beli pemain yang tak cemerlang SEBAGAI jurulatih veteran dengan CV yang cemerlang, Louis van Gaal tidak perlu bersusah payah memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedang berada di hadapannya jika dia mempunyai sumber-sumber yang boleh digunapakai untuk mengatasi masalah itu. Masalahnya dia tidak ada. Sebaliknya dia tiba di Carrington, ibu pejabat kelab barunya sekarang hanya untuk mendapati skuad yang diwarisinya bukan sahaja tiada kualiti sebagai kelab juara malah lebih buruk dari itu dia juga mewarisi barisan pemain pertahanan yang tidak mampu sama sekali mempertahankan krisis yang sedia ada. Tetapi untuk mencari punca mengapa Van Gaal berhadapan dengan begitu banyak masalah sekarang, United perlu melihat ke belakang iaitu pada masa mereka masih memenangi trofi. Kerana ketika itulah punca masalah sekarang bermula, iaitu ketika era kegemilangan Sir Alex Ferguson. Akhbar Britain, The Daily Mail dalam analisis mereka melaporkan, adalah kelihatan seperti tidak tahu berterima kasih, tidak sopan serta biadap untuk menegaskan demikian pada seseorang yang telah membawa kejayaan yang luar biasa dalam sejarah bolasepak British tetapi hakikatnya ialah, jika dilihat segala statistik, memang punca kemerosotan United bermula pada enam tahun terakhir kepimpinan Ferguson. United memang terus memenangi trofi dan kejohanan pada tahun-tahun terakhir Ferguson memimpin kelab tersebut tetapi masa depan kelab, menunjukkan telah seperti terabai dan tidak begitu diberi perhatian khusus. Inilah masa depan yang kemudiannya diwarisi oleh Van Gaal dan menjadi salah satu punca mengapa pengurus United masa kini tiba di Old Trafford hanya untuk mendapati skuad yang ada di tangannya sangat-sangat tidak berkualiti. Kelemahan yang begitu ketara sekali terbongkar pada malam Selasa yang menyaksikan mereka diaibkan oleh kelab kerdil, Milton Keynes Dons apabila tewas 0-4 yang juga mempamerkan kelemahan tersebut bukan terletak pada mana-mana individu tertentu tetapi pada keseluruhan skuad. Situasi krisis yang dialami United pada masa ini tidak mungkin akan dapat dilerai tanpa terlebih dahulu melihat kepada statistik pembelian pemain-pemain yang dibuat oleh Ferguson dalam tempoh enam tahun terakhir era kepimpinannya. Dalam tempoh tersebut, United memenangi empat kejuaraan liga, dua Piala Capital One dan satu piala Liga Juara-Juara Eropah dengan teras pasukan mereka dibarisi oleh pemain-pemain seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Park Ji-sung, Michael Carrick, Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs, Paul Schole dan Wayne Rooney. Bagaimanapun, pada masa yang sama, Ferguson telah melabur sekitar £160 juta ke atas sekumpulan pemain yang pada pandangan dan pertimbangannya adalah barisan pemain masa depan United hanya untuk mendapati, mereka tidaklah sehebat yang beliau sangkakan. Kumpulan pemain-pemain inilah yang mewakili generasi yang diwarisi oleh David Moyes dan kini giliran van Gaal pula. Di antara musim panas 2007 sehingga Januari 2013, Ferguson membeli pemain-pemain berikut dengan harga yang tidak kurang luar biasa: Nani (£17juta), Anderson (£27juta), Ashley Young (£17juta), Bebe (£7juta), Owen Hargreaves (£17juta), Tomasz Kuszczak (£2juta), Zoran Tosic (£7juta), Dimitar Berbatov (£30juta), Gabriel Obertan (£3juta), Mame Biram Diouf (£3juta), Javier Hernandez (£6juta), Chris Smalling (£7juta), Nick Powell (£6juta), Alexander Buttner (£4juta) dan Wilfried Zaha (£15juta). Di kalangan senarai pemain-pemain ini, ada yang memberi impak buat seketika seperti Nani, Ashley Young, Owen Hargreaves, Berbatov, Hernandez dan Smalling. Tetapi majoriti yang lain ada yang tidak pernah bermain langsung. Akhbar ini menegaskan, untuk mempertikaikan legasi Ferguson dengan cara ini adalah sesuatu yang tidak selesa untuk dilakukan jadi yang lebih sesuai untuk dijadikan mangsa korban adalah Moyes. Namun fakta yang terbentang di depan mata adalah sesuatu yang sukar untuk diketepikan begitu sahaja. Kehebatan Ferguson menguruskan ego bintang-bintang ternama dan menjadikan mereka pemain yang cemerlang tidak dapat dinafikan tetapi perkara yang sama tidak boleh diperkatakan tentang pertimbangannya dalam membeli pemain-pemain baru. Ini adalah bukti mengapa pemain-pemain seperti Paul Scholes yang bersara kemudian terpaksa kembali bermain pada usia 37 tahun dan rakan segenerasinya Ryan Giggs terus bermain sehingga mencecah usia 40 tahun - kerana tiadanya pemain-pemain berbakat yang dibawa masuk dapat menandingi apatah lagi menyamai bakat mereka. Dan sesiapa sahaja yang menyaksikan permainan United untuk tempoh tersebut akan menyedari yang kualiti pasukan mereka tidak meningkat tetapi Manchester City serta Chelsea menyaksikan kemunculan bintang-bintang baru yang menyerlah. Untuk memburukkan lagi keadaan, menjelang musim di mana Moyes mengambil alih teraju dari tangan Ferguson, United tidak membawa masuk pemain-pemain baru yang berkualiti dan berbakat dan apabila dia diganti oleh Van Gaal, mereka kehilangan pula pemain-pemain teras yang menjadi tulang belakang kelab itu seperti Vidic, Evra dan Ferdinand. Yang menakjubkan ialah mereka ini sama ada tidak disambung kontrak atau dijual. Oleh hal yang demikian, cabaran pertama Van Gaal sebenarnya ialah bagaimanakah dia dapat menahan kejatuhan kelab yang hebat ini daripada terus merudum dan menjunam ke bawah dan mencari gear pertama untuk memacunya ke hadapan semula. Keputusan daripada tiga perlawanan kompetatif pertama musim ini menunjukkan yang dia telah mewarisi skuad tanpa barisan pertahanan yang berfungsi dan dia sudah tentunya akan tertanya-tanya bagaimana sebuah kelab sebesar dan sehebat ini boleh mengizinkan semua ini terjadi. Memandang ke hadapan iaitu perlawanan yang bakal diharunginya Sabtu ini menentang Burnley, kelab yang sepatutnya mereka ratah, kebimbangan segera yang perlu diselesaikan oleh Van Gaal ialah, formasi apakah yang akan digunapakai untuk menyesuaikan dengan skuad yang ada sekarang dan juga dengan pemain yang baru dibawa masuknya seperti Angel di Maria. Sudah ternyata dan jelas, skuad ini sama sekali tidak berupaya dan tidak dapat mempraktikkan formasi 3-5-2 atau 3-4-1-2 yang telah digunakannya dengan penuh sukses dan berjaya untuk skuad Piala Dunia Belanda. Kesan terkumpul selama enam tahun akibat daripada pertimbangan yang salah dalam membawa masuk pemain-pemain yang tidak dapat mengekalkan status bintang dan juara sebuah kelab yang kini terbelah dua bagaikan membentak bahu yang sudahpun berat mengalas masalah. United harus berasa gembira seandainya mereka mampu mengakhiri musim ini lebih baik sedikit dari musim lalu (tangga ke-7) kerana hanya melalui satu pintu perpindahan sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan kemelut yang sedang ditanggung oleh Van Gaal sekarang.