TIDAK cukup dengan masalah sedia ada, nampaknya pengurus Manchester United, Louis van Gaal dihambat dengan satu lagi masalah lain iaitu pemain pertahanan Argentina yang dibeli dari Sporting Lisbon, Marcos Rojo (disebut:Ro-ho) masih belum menerima surat kelayakan perpindahan daripada Liga Perdana Inggeris yang akan menyebabkan dia tidak dapat diturunkan pada perlawanan liga Sabtu ini. Sebahagian daripada punca kelewatan itu adalah disebabkan isu pentadbiran yang perlu diselesaikan di antara Sporting Lisbon dengan pihak ketiga yang memegang hak ekonomi pemain berkenaan iaitu Doyen Group. Perpindahan Rojo ke United yang menelan belanja £16 juta dimeterai lapan hari yang lalu tetapi Van Gaal yang terdesak untuk menurunkan seorang pemain pertahanan yang berpengalaman masih tidak dapat berbuat demikian di sebabkan oleh masalah ini. Proses menguruskan dokumen perpindahan Rojo memakan masa yang agak lama kerana Doyen Group berhak ke atas 75 peratus daripada harga perpindahan tersebut. Liga Perdana perlu menyelesaikan isu tersebut sebelum jam 12 tengah hari Jumaat bagi membolehkan Rojo disenaraikan sebagai pemain yang sah dalam perlawanan menentang Burnley tengah hari Sabtu. Pertahanan United perlu kental Sabtu ini untuk mengelakkan satu lagi kekalahan setelah bekas juara liga 20 kali itu tewas di hari pembukaan liga tiga minggu yang lalu di tangan Swansea di tempat sendiri (Old Trafford). United kemudiannya seri 1-1 dalam perlawanan kedua menentang Sunderland minggu lalu dan pada Selasa mereka tewas 0-4 di tangan pasukan kerdil MK Dons dalam saingan Piala Capital One. Van Gaal tidak boleh tewas atau seri dalam perlawanan Sabtu ini untuk mengelak daripada menerima nasib yang sama sepertimana David Moyes musim lalu. Dan dia berharap akan dapat menurunkan seorang lagi pemain Argentina yang baru dibeli pada harga rekod perpindahan British iaitu Angel Di Maria dari Real Madrid pada harga £59.7juta.