WILFRIED Zaha, pemain yang dibeli pada harga £15 juta oleh Sir Alex Ferguson pada Januari 2013 tetapi hanya berpeluang bermain selama 28 minit sahaja dalam saingan Liga Perdana Inggeris sepanjang dia berada di Manchester United kini telah kembali ke kelab asalnya, Crystal Palace secara pinjaman selama semusim. Pemain sayap berusia 21 tahun itu dianggap sebagai bintang baru yang akan menyerlah oleh Ferguson tetapi sejak dia menyertai bekas juara Liga Perdana Inggersi itu, dia tidak memberikan sebarang aksi yang kelihatan seperti luar biasa. Pengurus Palace yang baru, Neil Warnock memberitahu, bahawa dia telah bercakap dengan Zaha berhubung perpindahan tersebut. "Ya saya ada bercakap dengannya pada malam Rabu selama setengah jam dan saya menyakinkannya kenapa dia perlu kembali ke pangkuan Palace dan saya optimistik yang perpindahannya akan menjadi nyata beberapa jam lagi," kata Warnock kepada portal berita Britain, Mail Online. Zaha dilahirkan di Ivory Coast tetapi kemudiannya menukar kerakyatan kepada Inggeris telah bermain mewakili Palace sebanyak lebih 100 kali dalam tempoh tiga tahun dia bersama kelab itu. Dia terpilih untuk bermain bersama pasukan England Bawah-21 Tahun tetapi dilihat tidak sesuai untuk bermain di bawah Louis van Gaal, sekaligus membuka laluan untuk dia berhijrah ke kelab lain. Warnock yang baru sahaja dilantik sebagai pengurus Palace pada Rabu membuka peluang tersebut kepada Zaha semula.