SERENA Williams berdepan perlawanan paling mencabar sebelum berjaya menewaskan Varvara Lepchenko 6-3 6-3 untuk mara ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi Ahad. Pemain No.1 dunia itu yang melakukan banyak kesilapan pada set pertama, berhempas-pulas selama 95 minit berdepan rakan senegaranya, Lepchenko. "Lawan saya hari ini begitu hebat. Ia perlawanan yang bagus dan menunjukkan prestasi sebenar Lepchenko. Saya amat berbangga dengannya," kata Serena. Serena berada pada kedudukan 3-3 pada set kedua sebelum bangkit menewaskan pemain ranking ke-52 itu. Sementara itu, Petra Kvitova yang juga juara Wimbledon gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pemain ranking ke-145, Aleksandra Krunic pada pusingan ketiga, Sabtu.