suria

Saingan Sukan Asia Lebih Sengit, Penting - Chong Wei

Chong Wei mendukung anaknya Kingston Lee sambil diperhatikan isterinya, Datin Wong Mew Choo sebaik sahaja pulang ke tanah air selepas menyertai Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Copenhagen di sini,malam Selasa.
SEPANG: Selepas gagal sekali lagi memenuhi impian meraih kejuaraan dunia, pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu memberi tumpuan kepada Sukan Asia Incheon, Korea Selatan yang akan membuka tirai pada 19 September ini.

"Sekarang ini hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk Sukan Asia dan saya perlu persiapkan diri untuk menghadapi Sukan Asia. Saya berharap saya dapat bersedia secara mental untuk itu.

"Secara mental, saya belum pulih sepenuhnya dan saya harap dapat segera menjalani latihan untuk ke Sukan Asia," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Copenhagen, Denmark, malam Selasa.

Menurut Chong Wei, saingan Sukan Asia bagi dirinya adalah lebih sengit dan penting kerana faktor saingan dan hanya diadakan empat tahun sekali.

"Saingan di Sukan Asia bagi saya adalah lebih sengit. Semua orang tahu saingan badminton di Asia adalah lebih kuat. Saingan di Sukan Asia lebih sengit untuk saya dengan adanya pemain China, Korea Selatan dan Indonesia. Untuk itu, saya perlu perkuat ketahanan mental," katanya.

Menyentuh Kejohanan Badminton Dunia, Chong Wei berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik walaupun gagal untuk menjuarainya.

"Mungkin saya boleh cuba lagi tahun hadapan memandangkan kejohanan dunia diadakan setiap tahun...tetapi saya belum tahu lagi (sama ada akan menyertainya atau tidak). Fokus saya sekarang ini ialah Sukan Asia sebab sukan itu diadakan empat tahun sekali.

"Semasa di Kejohanan Badminton Dunia, saya tidak 100 peratus siap tetapi saya mampu melangkah ke perlawanan akhir. Itu sudah agak baik untuk saya. Saya hanya satu langkah sahaja untuk capai kemenangan tetapi saya gagal sekali lagi," katanya.

Chong Wei terus kempunan untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya walaupun telah memberikan persembahan terbaik menentang pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China dengan keputusan 19-21 dan 19-21 di Ballerup Super Arena, Copenhagen, pada Ahad.

Sejak 2012, Chong Wei layak ke final namun selepas tiga tahun berturut-turut masih belum berupaya merebut gelaran juara Kejohanan Dunia.


Datuk Lee Chong Wei, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain