JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan baginda telah memulakan rundingan awal bagi mendapatkan khidmat penyerang Sepanyol, Fernando Torres bagi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim 2016. Baginda yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bertitah telah pun bertemu dengan ejen bekas penyerang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea itu yang kini dipinjamkan ke kelab AC Milan selama dua tahun. "Kami telah memulakan rundingan untuk mendapatkan Torres yang akan menjadi 'penjaring paling penting' untuk kita pada musim 2016. Beliau akan menggantikan penyerang JDT, Luciano Figueroa yang akan bersara pada musim 2016," katanya pada majlis taklimat dengan media dan penyokong JDT di Stadium Larkin, Selasa. Selain Torres yang menjadi sasaran JDT untuk musim 2016, pasukan Harimau Selatan itu juga berminat mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa lain jika usaha mendapatkan bekas penyerang Chelsea itu gagal, titahnya. Tunku Ismail bertitah antara pemain antarabangsa terbabit termasuklah penyerang kelab Juventus, Fernando Llorente, Mario Gomez yang kini bermain dengan kelab Fiorentina di Itali dan pemain kelahiran Argentina, Javier Saviola. Saviola kini bermain dengan kelab Serie A Itali, Hellas Verona. Ditanya mengapa JDT berminat mendapatkan Torres walaupun beliau gagal menyinar ketika di Chelsea, Tunku Mahkota bertitah, penyerang Sepanyol itu merupakan pemain yang berkualiti, berpengalaman dan berkebolehan. "Walaupun prestasinya di Chelsea kurang memberangsangkan, tetapi kita juga kena lihat prestasinya ketika di Liverpool dan ketika bermain untuk pasukan kebangsaan Sepanyol," titahnya. Selain itu, Tunku Mahkota Johor itu juga mendedahkan bekas penyerang utama kelab Itali, Inter Milan, kelahiran Argentina, Diego Milito turut berminat bermain untuk Harimau Selatan. Baginda bertitah, kesemua pemain import JDT pada musim ini akan dikekalkan untuk musim 2015, manakala barisan pemain tempatan akan diubah dengan kemasukan muka baharu daripada beberapa pasukan. Tunku Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan lima pemain tempatan JDT yang bakal digantikan dengan muka baharu itu dengan alasan ia akan mengganggu moral pemain Harimau Selatan yang sedang beraksi dalam Piala Malaysia. Empat pemain import JDT pada musim ini adalah Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz dari Argentina, pemain pertahanan Brazil Marcos Antonio Santos serta Hariss Harun dari Singapura. Ditanya mengenai kegagalan mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Cameroon, Samuel Eto'o, baginda bertitah, bekas penyerang terbaik Afrika itu meminta bayaran tinggi dan di luar kemampuan pasukan selatan tanah air itu. "Dia (Eto'o) meminta bayaran tinggi," titah baginda tentang rundingannya dengan Eto'o yang kini beraksi dengan kelab di Merseyside dalam Liga Perdana Inggeris, Everton. Mengenai masa depan ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak, baginda bertitah, kedudukan pengendali kelahiran Croatia itu adalah selamat dan akan terus mengendalikan juara Liga Super itu pada musim depan. JDT 2 pula kata baginda, akan mempunyai jurulatih import pada musim depan, manakala bekas penyerang pasukan Johor pada tahun 80-an, Ervin Boban pula akan melatih pasukan Johor pada Piala FAM musim depan.