suria

ARRC: Kelas 250cc Mula Saingan Tahun Depan

Dari kiri: Sadahiko Matsumura, Dyan Dilato, Ron Hogg, Razlan Rahim pada majlis pelancaran Kelas 250cc dalam saingan ARRC musim depan.

PENGENALAN perlumbaan kelas 250cc dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bermula pada tahun 2015 dijangka akan mengembangkan lagi industri sukan permotoran di Asia. 

Kelas baharu ini yang dilancarkan secara rasmi di Litar Suzuka, bersempena dengan perlumbaan Pusingan 4 ARRC dijangka menarik minat penyertaan daripada pelbagai negara.

Setakat ini, pihak penganjur kejuaraan, Two Wheels Motor Racing mengesahkan telah menerima 16 penyertaan dari tujuh negara Asia Tenggara.

Pengenalan kategori 250cc ini bakal menjadi perantara diantara perlumbaan kelas perdana SuperSports 600cc dan perlumbaan untuk peringkat akar umbi, Underbone 130cc dimana kelas 250cc ini dijangka akan melibatkan kebanyakan pelumba-pelumba yang dibangunkan melalui kelas underbone sebelum beralih ke kelas lebih tinggi.

Kelas 250cc ini turut membuka lebih banyak peluang kepada negara-negara pengeluar motosikal yang masih kurang penglibatan di dalam sukan permotoran untuk menyertai perlumbaan. 

Peraturan teknikal perlumbaan yang disediakan membolehkan penyertaan pengeluar motosikal bukan sahaja dari Jepun (Honda, Kawasaki, Suzuki dan Yamaha) malah pengeluar motosikal dari India, China dan Eropah juga berpotensi untuk menyertai perlumbaan.

"Membawa lebih banyak pengeluar motosikal ke dalam satu perlumbaan akan membuka lebih banyak peluang kepada pelumba-pelumba di seluruh rantau Asia untuk beraksi di dalam Kejuaraan Asia ini. 

"Dengan penglibatan yang semakin mendalam terhadap sukan permotoran, ia akan membantu meningkatkan mutu perlumbaan di negara mereka sendiri," jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing.

Kelas perlumbaan ini akan menggunakan peraturan sejenis tayar sahaja yang akan disokong oleh rakan kerjasama kejuaraan sejak dahulu lagi iaitu Dunlop.

"Dunlop akan membekalkan tayar Alfa-13 untuk kelas 250cc. Model ini telah menunjukkan mutu dan pencapaian yang baik sepanjang dua tahun lepas melalui perlumbaan Asia Dream Cup dan kami percaya ia juga sesuai untuk digunakan dalam kelas perlumbaan baru ini. 

"Dengan hubungan baik diantara Dunlop dan Kejuaraan Motosikal Asia yang semakin berkembang, komitmen Dunlop terhadap perkembangan sukan permotoran Asia juga semakin utuh saban tahun," jelas Sadahiko Matsumura, Pengurus Besar Dunlop.

Sementara itu wakil Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Asia, Dyan Dilato berkata kelas baharu ini akan menghasilkan impak yang besar terhadap dunia perlumbaan motosikal di setiap negara-negara Asia khususnya di Asia Tenggara. 

"Kami berharap di mana peraturan ARRC ini turut digunakan di kebanyakan kejuaraan tempatan dan setiap pelumba berbakat akan berkembang dengan lebih cepat dan pada masa sama akan merancakkan dunia perlumbaan permotoran dua roda di Asia," katanya.

ARRC, 250cc

Artikel Sebelum

Malaysia Tewas 1-0 Kepada Yemen

Artikel Berikut

Artikel Lain