suria

Harimau Muda Gagal Tunjuk Taring, Tewas 1-0 Kepada Yemen

Pemain pasukan Harimau Muda A, Mohammad Amer Saidin menguasai bola dari pemain Yemen pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam di sini, Shah Alam, Sabtu. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Skuad Harimau Muda terpaksa menelan pahit selepas diaibkan oleh Yemen 1-0 di halaman sendiri pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam di sini Sabtu.

Kekalahan tersebut sudah pasti akan menggugat kekuatan mental anak buah Datuk Ong Kim Swee yang bakal mengalas cabaran negara di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bermula 14 September ini.

Memulakan perlawanan dengan begitu bersemangat, skuad Harimau Muda melancarkan serangan bertali arus namun gagal menembusi benteng pertahanan Yemen yang dikawal kemas oleh Motazz Qaid dan Mudir Al-Radaei.

Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Bobby Gonzales hampir menceriakan lebih kurang 5,000 penyokong di stadium apabila rembatan kencang tersasar keluar dari gawang gol lawan pada minit ke-30.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, skuad negara terus mengatur serangan, namun cubaan yang dilakukan oleh Muhammad  Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-51 melepasi gawang gol pasukan pelawat.

Kem bola sepak negara kembali ceria apabila Ashri Chuchu melakukan cubaan berbahaya namun sepak derasnya tersasar keluar dari tepi kiri gawang gol Yemen yang  dikawal kemas oleh Saoud Al-Sowadi yang juga merupakan kapten pasukan Yemen pada minit ke-64. 

Nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Muda apabila Yemen menghasilkan jaringan tunggal pada minit ke-79 menerusi pemainnya Muhammed Fuad.

Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini pernah menewaskan skuad Yemen 2-1 pada pusingan kelayakan Piala Asia Di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mac lepas.

Selepas ini, skuad negara sekali lagi diuji menerusi perlawanan persahabatan bersama China pada 10 September ini sebelum berlepas ke Incheon.

Pada Sukan Asia, Malaysia berada dalam Kumpulan A dan akan menentang Korea Selatan pada aksi pembuka tirai pada 14 Sept nanti sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bersama Arab Saudi dan Laos.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan layak ke pusingan kedua.

Artikel Berikut

Malaysia Tewas 1-0 Kepada Yemen

Artikel Lain