suria

Tidak Perlu Rombak Sistem Kategori Atlet - Khairy

Khairy (dua, kanan) melekap tapak tangan sebagai sokongan pada majlis pelancaran Hari Belia Bebas Dadah 2014 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, Sabtu. Turut serta Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi (kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sistem penarafan atlet mengikut kategori A dan B yang diguna pakai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar atlet atau pasukan ke temasya sukan antarabangsa perlu dikekalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, peraturan menetapkan taraf atlet atau pasukan mengikut dua kategori itu merupakan keputusan dasar MOM untuk menilai prestasi atlet.

Katanya, beliau tidak setuju dengan cadangan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2014, Datuk Danyal Balagopal Abdullah supaya MOM mengkaji semula sistem penarafan tersebut.

"Kalau dirombak (sistem itu), akan hanya ada dua kategori iaitu kategori A atau tidak dihantar langsung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Belia Bebas Dadah 2014 bertemakan 'The More You Use, The Less You Live' di sini, Sabtu.

Mengikut sistem penarafan MOM itu, atlet atau pasukan yang melepasi kelayakan atau mempunyai merit untuk menyertai Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik diletakkan dalam kategori A.

Segala perbelanjaan atlet atau pasukan dalam kategori A ditanggung oleh MOM manakala atlet atau pasukan berpotensi yang gagal melepasi had kelayakan perlu menanggung pembiayaan sendiri di bawah kategori B.

Bagaimanapun, segala perbelanjaan atlet atau pasukan kategori B akan dibayar balik oleh MOM sekiranya berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Pada Jumaat, Danyal Balagopal dilaporkan menggesa supaya kajian semula dibuat terhadap peraturan itu yang menurutnya memberi lebih banyak kerumitan terutama pada saat akhir persatuan mengemukakan rayuan sebelum berlangsungnya mana-mana temasya sukan.

Pada temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan dari 19 September hingga 4 Oktober ini, Malaysia akan menghantar 280 atlet dan 140 pegawai.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik negara dalam pembabitan di Sukan Asia ialah pada edisi lepas di Guangzhou, China, pada 2010 dengan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain